KUALA LUMPUR: Menjadikan media sosial seperti Facebook, Instagram dan TikTok sebagai “medan curahan perasaan” semakin menjadi trend, sama ada berkongsi yang positif dan menggembirakan atau sebaliknya.
Lebih membimbangkan ada yang tanpa segan silu mendedahkan perkara peribadi kerana mungkin tidak dapat memendam rasa atau setakat mahu mengisi kandungan sensasi untuk akaun media sosial mereka.
Ibarat episod drama rantaian, berikutnya menjadi tular serta bualan masyarakat, namun adakah apa yang dilakukan itu memberi kelebihan atau memalitkan lumpur ke muka sendiri atau keluarga terdekat?
BANTU ASPEK ‘SOCIAL ANXIETY’
Menurut pakar psikologi dan pengasas CPC International yang berpejabat di Bandar Baru Bangi, Dr Noor Aishah Rosli, tindakan meluahkan perasaan di media sosial atau disebut social sharing of emotion menjadi amalan terkini bahkan budaya kebanyakan masyarakat di seluruh dunia.
“Meluahkan perasaan di platform media sosial pertamanya menunjukkan keberanian seseorang untuk memberitahu emosi mereka sama ada gembira, marah atau sedih. Jika dibandingkan sebelum ini, kita dibelenggu rasa malu dan takut jika orang mengata dan sebagainya.
“Zaman sekarang dah terbalik, peredaran zaman dan perkembangan teknologi membuatkan manusia berani bercerita, berkongsi perasaan dan masalah.
“Ia juga dapat membantu mereka yang mengalami social anxiety (gangguan kebimbangan sosial), yang mengalami ketakutan melampau untuk bercerita dengan orang lain. Ini kerana maklum balas yang diterima daripada orang ramai di media sosial mungkin dapat membantu memberi kelegaan kepada mereka,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Beliau menambah, tindakan meluahkan emosi di media sosial antara lain boleh mempengaruhi dan memberi motivasi kepada orang lain untuk melakukan tindakan yang sama kerana manusia belajar melalui pemerhatian dan akan meniru sesuatu perkara.
“Tabiat manusia suka mendapat perhatian daripada orang lain. Sebagai contoh jika muat naik status mengenai kejayaan, komen yang diterima seperti ucapan tahniah pastinya memberi kepuasan. Begitu juga jika ‘post’ mengenai perkara yang menyedihkan, trauma dan mengaibkan, orang akan menzahirkan rasa simpati atau memberi kata-kata semangat.
“Mereka yang gemar meluah di media sosial dan mendapat maklum balas daripada orang ramai, tanpa disedari turut memberi idea kepada pengguna media sosial lain yang turut berhadapan masalah sama untuk bertindak,” katanya.
ISU RUMAH TANGGA BUKAN UNTUK TONTONAN
Media sosial boleh jadi platform terbaik untuk memberitahu masyarakat berhubung sesuatu perkara namun Dr Noor Aishah menekankan perlu ada batasan dan mengikut kesesuaian perkara yang ingin dikongsikan.
“Ada perkara yang dikongsikan di media sosial akan membuatkan pengguna lain berfikir, adakah mereka juga berhadapan situasi yang sama? Sebagai contoh, seorang ibu berkongsi secara umum anaknya dibuli di sebuah sekolah berasrama.
“Pengguna media sosial lain yang membaca status berkenaan terutama kaum ibu akan lebih mengambil berat perihal anak mereka. Apabila isu itu tular, pihak berkaitan akan mengambil tindakan susulan termasuk penambahbaikan bagi membanteras insiden buli di sekolah,” katanya menambah, isu sedemikian boleh dijadikan panduan kepada orang ramai.
Beliau turut mengingatkan bahawa isu rumah tangga bukanlah sesuatu yang sesuai untuk dikongsikan di media sosial lebih-lebih lagi apabila melibatkan golongan selebriti popular kerana ia akan lebih memberi tekanan dan implikasi besar kepada ramai pihak khususnya ahli keluarga.
Dr Noor Aishah menjelaskan, masalah dalaman rumah tangga yang didedahkan kepada umum hanya mengundang ahli masyarakat menjadi ‘hakim tidak bertauliah’ sama ada menzahirkan simpati atau menghamburkan kata-kata kesat, mengeji, memaki hamun sehingga ke tahap mengaibkan dan menjatuhkan maruah orang lain.
“Apabila kisah rumah tangga didedahkan (terutama selebriti), sebagai contoh ramai yang akan bercakap mengenai si A. Dan jika kita ‘melayan’ (memberi komen) setiap perkongsian ia bukan sahaja membawa kepada perkara negatif bahkan bimbang jatuh dosa sebagai orang Islam kerana kita orang luar tidak tahu perkara sebenar,” katanya.
STATUS SOSIAL MEMPENGARUHI
Berpendapat status sosial turut mempengaruhi tahap keberanian seseorang untuk memuat naik status yang ‘mengundang’ sekali gus menarik perhatian masyarakat, Dr Noor Aishah berkata, golongan berpengaruh dan ‘ada nama’ lazimnya melakukan tindakan sebegini.
“Jika perhatikan mereka yang banyak bercerita di media sosial ni, biasanya orang yang ada nama, ada duit, jadi mereka tak kisah pun kalau orang tahu masalah mereka dan mengata sebab rasa kuat dan berpengaruh.
“Tapi bagi golongan yang biasa-biasa ni, jarang kita lihat mereka ‘post’ di media sosial jika berlaku masalah rumah tangga, bukan tak ada tapi jarang. Mungkin sebab tiada keberanian, lagipun siapa mereka? (berbalik kepada status sosial, bukan golongan dikenali).
“Biasanya golongan selebriti yang banyak ‘post’ di media sosial. Mungkin juga kerana kehidupan mereka sangat berkait rapat dengan media sosial dan platform media yang lain jadi mereka rasa lebih mudah meluahkan perasaan,” katanya.
Bukan sahaja masalah dalaman rumah tangga melibatkan selebriti popular yang didedahkan kepada umum boleh menimbulkan suasana tidak selesa kepada pihak keluarga, malahan ia memberi kesan psikologi kepada anak-anak untuk jangka masa panjang termasuk tekanan mental, kebimbangan, murung dan sebagainya.
Seperti kata Dr Noor Aishah, apabila seorang isteri atau suami bercerita kepada orang ramai keburukan pasangan mereka, bagaimana agaknya penerimaan pasangan, ibu bapa, anak-anak dan ahli keluarga?
“Kalau rasa tak seronok (dalam perkahwinan) pergilah ke pejabat agama dan guna saluran yang betul. Mungkin ada antara mereka melihat media sosial saluran terbaik selepas lama bertahan dan berdiam diri, hakikatnya tidak sama sekali kerana implikasinya cukup besar.
“Hal rumah tangga melibatkan banyak pihak. Anak-anak akan tengok, baca dan mereka menilai apa yang berlaku di depan mata. Kasih sayang mungkin berbelah bagi apabila mereka fikir si ayah atau ibu jahat, ayah nampak buruk sebab buat ibu menangis, berdasarkan cerita-cerita yang berpunca dan tersebar di media sosial,” katanya menambah, anak-anak akan menjadi mangsa keadaan.
Tindakan mengikut emosi juga boleh mengakibatkan keluarga menanggung malu dan membawa kepada pemikiran yang tidak rasional, sehingga perkara tidak berlaku pun akan difikirkan secara berlebihan.
“Isu masalah rumah tangga di mana-mana dan sejak dulu, cuma bezanya sekarang ia dipertontonkan. Sebenarnya kita tidak perlu tahu pun kerana tidak ada kaitan dengan kita, tapi bila dah ‘post’ kita baca, kita naik geram, rasa empati dan macam-macam perasaan ada.
“Kesannya berlarutan kepada masyarakat yang sibuk ambil tahu dan terbawa-bawa rasa tidak puas hati, bagi komen itu ini dan sudahnya ahli masyarakat sendiri yang bergaduh,” katanya menasihatkan pihak terlibat agar bermuhasabah diri.
JEJAS KESELAMATAN DATA PERIBADI
Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Azrul Zafri Azmi berkata, terdapat beberapa jenis luahan yang biasa dilakukan oleh pengguna siber, antaranya luahan ikhlas kerana tiada tempat mengadu dan tidak mempunyai ramai kawan serta luahan negatif bagi menagih perhatian, mengharapkan sokongan dan mendambakan ‘like’.
Selain itu, ada luahan yang sengaja direka-reka bagi menarik penyokong dan apabila tular mereka akan menggunakan populariti untuk tujuan perniagaan dan mengutip derma.
Hal ini melibatkan prinsip “pemasaran yang buruk juga adalah pemasaran”.
Bagaimanapun, Azrul Zafri berpandangan, trend meluah perasaan di media sosial bahaya kerana mendedahkan diri kepada kelompok yang berniat jahat.
Beliau menjelaskan, tindakan demikian akan membuatkan orang luar tahu tahap emosi orang yang berkenaan dan menggunakannya untuk mengambil kesempatan, justeru, media sosial sepatutnya digunakan untuk menyebarkan perkara yang positif dan bermanfaat.
“Ada juga yang suka membuat luahan umum berkenaan ideologi politik dan isu agama. Tidak semua orang mempunyai pendapat yang sama maka kita patut elakkan luahan yang sengaja menimbulkan suasana tegang,” katanya menambah, media sosial bukan tempat untuk mencari musuh.
Mengaitkan kemungkinan pendedahan tertentu akan mendorong pihak lain ‘menangguk di air yang keruh’ dalam aspek keselamatan data peribadi, Azrul Zafri berkata apabila luahan terlalu kerap, orang luar akan dapat menjangka ‘pergerakan atau perkembangan’ diri seseorang.
Beliau memberikan contoh, soal keluar dengan siapa, siapa anak-anak, siapa pasangan dan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) memudahkan data berkenaan dimanipulasi untuk pelbagai tujuan seperti ugutan, pemasaran dan sebagainya.
“Setiap apa yang kita kongsi akan ada kesannya. Pihak yang tidak bertanggungjawab akan mengambil kesempatan sebagai contoh memanipulasi tarikh hari lahir kita yang kita gunakan sebagai kata laluan, alamat tempat tinggal membawa kepada risiko pecah rumah dan risiko culik di sekolah anak.
“Contoh lain, seorang selebriti meluahkan perasaan mengenai konflik rumahtangga, akan ada pihak ketiga yang mengintai peluang untuk membuat perkara yang tidak elok dan ada juga mengambil peluang untuk menumpang populariti isu tersebut untuk tujuan lain. Akhirnya, isu rumahtangga tidak selesai tetapi pihak lain yang meraih keuntungan,” katanya.
Berdasarkan prinsip kepenggunaan siber yang baik beliau berkata, tidak salah berkongsi atau memberi pengajaran kepada umum, namun perlu berpada kerana bimbang ia akan berbalik kepada diri sendiri, membahayakan keluarga dan membuka ruang untuk pihak lain mengambil kesempatan.
PILIH SALURAN TEPAT
Bagi pengamal undang-undang, Zakiah Daod pula, pengaruh media sosial dan masyarakat hari ini tidak dapat dipisahkan sekali gus menjadikan ramai yang semakin berani menjaja kisah rumah tangga di aplikasi TikTok sejak akhir-akhir ini.
“Hampir setiap hari ada sahaja individu terutama kaum wanita memuat naik video dengan berkongsi perasaan sedih kerana dicurangi atau diceraikan pasangan. Walaupun niat mereka mungkin untuk tujuan kesedaran dan sebagai peringatan tetapi hakikatnya tindakan itu lebih kepada membuka aib sendiri.
“Contohnya, pernah tular isu isteri ‘menangkap’ suami berstatus seorang doktor bersama perempuan lain. Langkah wanita itu saya sifatkan sebagai tidak wajar dan kes seperti ini yang boleh dikatakan mengaibkan kerana ia disebarkan di media sosial untuk tontonan masyarakat semata-mata, sebaliknya bukan melibatkan kesan undang-undang.
“Langkah yang sepatutnya diambil ialah melaporkan salah laku (khalwat) pasangan tersebut kepada institusi berkaitan agar siasatan dan tindakan selanjutnya boleh diambil. Kes itu akan didengar di saluran yang sepatutnya, dihadiri oleh pihak yang terlibat dan kisah sebenar yang berlaku hanya akan di simpan di dalam rekod mahkamah dan di dalam bilik bicara sahaja,” katanya.
Masalah yang dialami hanya akan menjadi satu lagi episod ‘drama bersiri’ apabila didedahkan di media sosial dan menurut Zakiah, ia juga akan mengeruhkan keadaan apabila pembaca memberi komen negatif dan lebih buruk lagi memberikan nasihat yang salah.
“Daripada menggunakan media sosial untuk meluahkan masalah, lebih baik menggunakannya untuk mencari maklumat ke mana masalah wajar dibawa dan agensi yang boleh membantu.
“Contohnya jika berhadapan masalah penderaan, buatlah carian di Internet seperti ‘laporan kes dera wanita’. Pelayar Internet akan membawa anda kepada maklumat siapa yang boleh dihubungi seperti Pertubuhan Pertolongan Wanita, hospital, balai polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat serta undang-undang yang berkaitan selain permohonan di mahkamah untuk mendapatkan perintah injuksi supaya pendera tidak dapat menghampiri anda,” jelasnya. – BERNAMA