IPOH: Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) akan mengadakan mesyuarat pada 2 Mac ini bagi mengkaji garis panduan berkaitan tauliah mengajar agama oleh wakil rakyat di negeri ini.
Yang Dipertua MAIPk, Tan Sri Mohd Annuar Zaini berkata, keputusan mesyuarat itu kemudian akan dipersembahkan kepada Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, kemudian pihaknya akan mengadakan sesi libat urus dengan semua pihak terlibat
“Apabila sudah ada keputusan daripada Tuanku, mungkin Tuanku akan panggil semua ketua parti untuk menerangkannya. Dalam soal ini, kita konsisten selain ingin mendamaikan pihak yang berselisih faham dan tersinggung hati selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lepas.
“Setakat ini belum ada ketetapan dan kami mendapat banyak rungutan, jadi kita mahu mencari satu jalan untuk mengelakkan berlakunya salah faham,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Penyerahan Buku Belajar Asas Membaca Al-Quran Kaedah Muallim, Mari Belajar Jawi KSSR dan Fahami Bacaan Dalam Solatmu di sini hari ini.
Mohd Annuar berpendapat, seseorang ahli politik yang mempunyai tauliah mengajar agama tidak perlu ditarik balik pentauliahannya selagi mereka tidak mengajar perkara yang mengarut dan bercanggah dengan hukum syarak.
“Seperti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi dan Parit pernah mengajar dan mempunyai tauliah mengajar. Bagi saya harus faham ada dua isu berbeza iaitu tauliah mengajar bermaksud dia dinilai untuk jawatankuasa dan mempunyai ilmu pengetahuan dalam bidang yang dipelajari,” katanya.
Berdasarkan pekeliling dikeluarkan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) bertarikh 26 Oktober 2022, Sultan Perak bertitah pada 24 Okt 2019 untuk tidak membenarkan sebarang aktiviti politik diadakan di premis masjid atau surau, sama ada daripada parti kerajaan mahupun pembangkang. – BERNAMA