HomeBeritaMajikan perlu patuh undang-undang waktu bekerja 45 jam seminggu

Majikan perlu patuh undang-undang waktu bekerja 45 jam seminggu

 

IPOH: Kerajaan menggesa semua majikan mematuhi dan tidak menggunakan pelbagai alasan lapuk bagi mengelak untuk mengguna pakai Akta Kerja 1955 (Pindaan 2022) terutama membabitkan pengurangan tempoh waktu bekerja dari 48 jam kepada 45 jam seminggu.

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata, ini kerana ia bukan sahaja telah diluluskan di Parlimen malah para majikan telah diberikan tempoh masa sehingga 1 Januari tahun ini untuk melaksanakan perkara itu.

“Pada tahun lepas pindaan berkenaan undang-undang ini telah diumumkan di Parlimen disusuli dengan kenyataan media yang telah dibuat. Menjadi tanggungjawab dan kewajipan kepada semua majikan untuk mengikuti undang-undang tersebut.

“Jadi saya tidak mahu ada sebarang alasan daripada mana-mana majikan yang mengatakan bahawa mereka tidak tahu tentang undang-undang yang telah diluluskan ini,” katanya ketika ditemui pemberita pada sidang media di Pusat Pembangunan Modal Insan Perak (PHCDC), hari ini.

Pada 23 Februari lepas, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kamarul Baharin Mansor dalam satu laporan media menggesa Kementerian Sumber Manusia (KSM) mengambil tindakan keras terhadap mana-mana majikan yang mengingkari perlaksanaan Akta Kerja 1955 (Pindaan 2022).

MTUC turut menegaskan terdapat laporan masih terdapat majikan yang tidak mempedulikan pindaan akta berkenaan termasuk dalam soal pengurangan waktu bekerja.

Dalam perkembangan lain, Sivakumar berkata, KSM akan kekal komited dalam memastikan pemerkasaan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) diteruskan melalui kerjasama dengan pelbagai pihak terlibat.

Katanya, pada ketika ini fokus utama kerajaan terarah adalah untuk memastikan setiap lepasan TVET memperoleh pekerjaan sepadan dengan kemahiran yang diperolehi melalui kursus yang telah dipelajari.

“Kita mahu memastikan bahawa anak-anak yang dilatih di bawah program TVET mempunyai nilai pasaran yang tinggi kerana sering kali dibangkitkan isu bahawa berlaku ketidakpadanan. Graduan yang dihasilkan tidak diperlukan oleh industri dan ini akan merugikan sumber dari segi kewangan, masa dan tenaga,” katanya.-BERNAMA

 

Authors

Pilihan Editor