KEBANYAKAN masyarakat yang yakin mereka mengalami penyakit mistik atau terkena gangguan sihir pasti akan mencari ustaz, tok imam, bomoh atau pawang untuk mendapatkan rawatan.
Apabila seseorang hendak menjatuhkan individu atau hendak menyekat kejayaan individu tersebut cukup sekadar melakukan sihir dan menghantar santau.
Itu adalah jalan mudah untuk melumpuhkan kejayaan seseorang tanpa memikirkan dosa yang ditanggung akibat kesengsaraan mangsa.
Apabila seseorang terkena sihir, tanpa disedari mereka akan mengalami masalah kemurungan, cepat marah, baran, tiada keyakinan diri, lesu, sakit-sakit urat, bertindak liar, bunuh diri, amuk dan sihir juga boleh menyebabkan kematian.
Apabila berjumpa doktor, jawapan doktor “kamu tidak sakit” tetapi sebenarnya “saya sakit” dan doktor gagal menemui punca sakit. Inilah simptom biasa seseorang sudah disihir.
Pusat Rawatan Islam pula tidak menyediakan perkhidmatan 24 jam dan kebanyakan perawat diragui kesahihan dan kefaqihan dalam ilmu perubatan Islam yang dipelajari.
Kerana itulah setiap perawat Islam wajib mendaftar dengan persatuan dan mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Bagi orang awam dari golongan B40 bimbang dengan kos rawatan yang terlalu mahal dan tidak mampu membayar upah rawatan yang ditetapkan oleh sesetengah individu yang mengaku sebagai “perawat Islam”.
Tahukah kita, bahawa dengan makanan alternatif dan makanan sunnah, sihir atau gangguan mistik boleh dicegah.
Rasulullah SAW mengamalkan makan kurma Ajwa sebagai makanan tambahan untuk tambah tenaga.
Kandungan buah kurma terdiri daripada flavonoid, quercetin, steroids dan polifenol yang boleh menambah tenaga dengan segera.
Secara tidak langsung dengan meningkatkan tenaga dalaman, santau atau racun sihir akan dihalang daripada terus merebak untuk merosakkan badan kita.
Menurut Riwayat al-Bukhari (5445) dan Muslim (20547), sesiapa yang memakan tujuh biji kurma Ajwa, tiada racun atau sihir dapat memudaratkannya pada hari itu.
Tahukah anda bahawa Fruktosa dalam madu lebah memiliki keupayaan mengawal tekanan dan memberi ketenangan kepada kita, madu lebah juga berupaya mengurangkan simptom sihir terutama individu yang mengalami kemurungan dan kelesuan.
Lebah adalah salah satu binatang yang dilarang kita membunuhnya atas sebab lebah adalah makhluk Allah SWT yang sentiasa berzikir kepada Allah dan sentiasa mencari kebaikan.
Benarlah apa yang dikatakan oleh Rasulullah SAW.
“Perumpamaan seorang Mukmin bagaikan lebah, ia tidak makan kecuali yang baik dan tidak memberi kecuali yang baik.” (HR Tirmidzi dan Ibnu Majah)
Perkara yang paling menarik sekali, menurut arwah Al-Alamah Arifbillah Sheikh Abdul Hamid (Paksu Mid) pernah memberitahu bahawa daun kemangi boleh menakutkan “mahkluk halus” dan boleh merawat penyakit sihir.
Paksu Mid amat dikenali di kalangan orang kenamaan (VVIP) seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Najib Razak, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang pernah melawatnya untuk mendapat pandangan.
Hal ini telah memberi idea untuk menjalankan kajian bagi membuktikan kesahihan fakta berkenaan.
Secara logiknya, daun kemangi berbau wangi di mana jin, iblis dan syaitan tidak suka benda yang berbau wangi.
Daun Kemangi juga mengandungi banyak flavonoid polifenol seperti orientin dan vicenin yang bertindak sebagai pelindung kepada ancaman penyakit dan membersihkan saluran saraf.
Ini secara tidak langsung tiada ejen luar boleh bersarang dalam badan manusia apabila memakan daun kemangi.
Pensyarah Fakulti Psikologi Kaunseling UPSI, Dr Fuziah Saad juga mengesyorkan makanan alternatif seperti gula-gula Travy yang berasaskan daun kemangi diluluskan KKM kepada pelajar-pelajarnya untuk mencegah gangguan dan tekanan khususnya menjelang peperiksaan.
Sebagai hamba Allah SWT, kita wajib percaya setiap penyakit dan pasti ada ubatnya dan setiap sumber alam ini ada ‘tugas’ masing-masing yang wajar dimanfaakan.
Dengan meneroka rahsia alam yang tersembunyi, kita mungkin mampu menyelesaikan kesulitan, kesusahan orang lain khususnya yang diuji dengan gangguan sihir dan mistik.
Norsanizam Al-Dimasqi adalah pelajar Ijazah Doktor Falsafah (PhD) bidang Syariah, Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)