HomeSukanManchester City tewaskan Arsenal 3-1 untuk rampas kedudukan teratas EPL

Manchester City tewaskan Arsenal 3-1 untuk rampas kedudukan teratas EPL

 

MANCHESTER City berjaya menewaskan Arsenal untuk mendahului carta Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas Jack Grealish dan Erling Haaland berjaya menjaringkan gol di separuh masa kedua untuk memberikan kemenangan 3-1 kepada juara bertahan itu dalam satu perlawanan yang mendebarkan di Stadium Emirates awal pagi tadi.

Grealish dengan mudah membuat satu sepakan leret hasil umpanan cantik dari Gundogan untuk menewaskan Aaron Ramsdale pada minit ke-72 sebelum Haaland menambah derita Arsenal 10 minit kemudian untuk memastikan tiga mata dibawa pulang. 

Sebelum itu, Manchester City membuka tirai jaringan menerusi sepakan cantik daripada pemain tengan mereka, Kevin De Bruyne untuk memanfaatkan kesilapan yang dilakukan pertahanan Arsenal, Takehiro Tomiyasu pada minit ke-24.

Namun, Arsenal berjaya mengikat kedudukan sebelum tamat separuh masa pertama hasil sepakan penalti Bukayo Saka selepas Eddie Nketiah dikasari oleh Ederson di dalam kotak penalti. 

Pasukan pelawat dihadiahkan sepakan penalti pada separuh masa kedua apabila Haaland dikasari namun pengadil membatalkan keputusan itu setelah pembantu video pengadil (VAR) mengesan Haaland berada di kedudukan offside  sebelum insiden itu berlaku. 

Kekalahan pertama Arsenal di laman sendiri musim ini memberikan impak besar dalam misi perebutan kejuaraan bagi pasukan bimbingan Mikel Arteta itu dan kini mereka hanya mengutip satu mata daripada tiga perlawanan terakhir mereka.

Kekalahan Arsenal di bawah bimbingan Arteta ini merupakan kekalahan ke 11 berturut-turut Arsenal kepada Manchester City dalam saingan EPL.

Perlawan awal pagi tadi juga turut memberikan impak yang hebat dalam pertarungan antara dua pasukan teratas Liga Perdana Inggeris itu. 

City kini mendahului carta liga dengan perbezaan gol dan sementara Arsenal mempunyai kurang satu perlawanan.

Author

Pilihan Editor