HomeBeritaMahkamah & JenayahMHO gesa hukuman penjara bagi penipu skim pelaburan

MHO gesa hukuman penjara bagi penipu skim pelaburan

SUNGAI BESI: Jenayah penipuan skim pelaburan sepatutnya disiasat dan didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh memenjarakan penjenayah.

Gesaan itu dibuat oleh Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim.

Hishamuddin berkata, kebimbangan MHO terhadap isu skim pelaburan kutu secara haram ini apabila mahkamah lebih cenderung mengenakan hukuman denda berdasarkan Seksyen 3 (1) Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971 (Akta 28).

“Di bawah akta berkenaan jika sabit kesalahan, boleh dipenjara maksimum 10 tahun atau denda sehingga RM500,000 atau kedua-duanya.

“Kebimbangan MHO jika kes seperti ini disiasat, hanya dituduh mengikut akta larangan kutu tidak akan memberi keinsafan kepada penjenayah kerana dibawah akta ini penjara adalah pilihan dan berdasarkan trend, mahkamah cenderung untuk mengenakan denda sahaja.

“Mereka yang dijatuhkan hukuman diarahkan membayar sejumlah denda (maksimum RM500,000) sedangkan kerugian mangsa babitkan puluhan juta ringgit.

“Ada penjenayah sebelum ini selepas bayar denda, mereka membuka pelaburan lain dikenali MBI pula.

“Jadi, saya sarankan kepada pihak Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Suruhanjaya Sekuriti (SC), pihak polis dan Peguam Negara supaya meneliti tuduhan penipuan pelaburan perlu didakwa mengikut Kanun Keseksaan agar mereka dihukum penjara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mangsa-mangsa skim pelaburan kutu ditipu wang kutu, dilarikan ‘scammer’ Saving Sapiza, di sini.

Turut hadir, Penasihat MHO, yang juga Presiden kepada Pertubuhan Keperihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC), Tan Sri Musa Hassan.

Berdasarkan maklumat, pelaburan Saving Sapiza didalangi seorang wanita berusia 37 tahun dikenali sebagai Ibu Kutu.

Ibu Kutu berkenaan ditahan reman oleh polis semalam bersama enam individu lain hasil pendedahan dan maklumat awam.

Selain daripada Sapiza di dalam pelan ini terdapat beberapa orang ketua (leader/admin) dan pelabur-pelabur sebagai player.

Pelan pelaburan kutu ini sudah wujud sejak tahun 2015 menggunakan platform Whatsapp, Instagram, Facebook dan Telegram untuk beroperasi walaupun tanpa bangunan syarikat.

Ia dikatakan menyediakan beberapa pakej dan masa tertentu untuk tarikh pulangan wang modal serta keuntungan sebanyak 60 peratus setiap pakej.

Pada awalnya, pelabur skim menerima pulangan dijanjikan namun pelaburan mereka mulai lebur (tidak terima pulangan) pada tahun lalu.

Sebagai contoh pakej yang ditawarkan adalah RM5,000 dan terima ekstra duit (lebihan modal) RM1,000 dalam tempoh 15 hari.

Main kutu adalah satu kesalahan dan pesalah boleh didenda tidak lebih daripada RM500,000 atau dipenjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, Hishamuddin menjelaskan, tiga elemen yang akan memenuhi kesalahan jenayah mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan itu, seperti pihak scammer memperdaya mangsa, berlaku serahan harta bagi tujuan memperdaya dan mendatangkan kerugian serta mempunyai niat untuk memperdaya pengadu dengan curang.

Bagi mana-mana individu yang melakukan penipuan dan secara tidak jujur mendorong supaya harta diserahkan, disiasat melakukan kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (Akta 574), jika disabitkan bersalah boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari 10 tahun.

Author

Pilihan Editor