CYBERJAYA: Jenama aiskrim tempatan Malaysia, Mokti’s kini melebarkan sayap perniagaannya di bumi Istanbul, Turkiye.
Menerusi perkongsian di Facebook rasmi Mokti’s HQ Malaysia memaklumkan, cawangan antarabangsa Mokti’s pertama telahpun dibuka di Mokti’s Turkiye, pada Selasa.
“Setelah berbulan-bulan persediaan, akhirnya cawangan antarabangsa Mokti’s yang PERTAMA telah dibuka di Mokti’s Turkiye! Alhamdulillah dan syukur!
“Ramai pelancong dari Malaysia, Indonesia dan juga Singapura datang untuk support Mokti’s di sana. Dan juga, warga Tukiye yang turut datang untuk cuba aiskrim gula apong,” maklumnya.
Untuk rekod, pada 2022, Mokti’s dilaporkan mempunyai 85 cawangan di Malaysia untuk memenuhi permintaan pelanggannya menerusi 69 jenis produk.
Mokti’s yang popular dengan sajian aiskrim berperisa gula apong turut menawarkan manisan lain seperti waffle dan air ‘Special Blend’ serta latte.