HomeBeritaMPSepang catat MBOR peraga batik di Kinabalu

MPSepang catat MBOR peraga batik di Kinabalu

SEPANG: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) berjaya mencatat rekod dalam Malaysia Book of Records (MBOR) hasil usaha 36 staf memperagakan Batik Selangor di atas puncak Gunung Kinabalu.

Pengiktirafan itu diperoleh menerusi “Most Participants Wearing Batik Selangor on Mount Kinabalu” dalam misi menawan Gunung Kinabalu 2.0 dan berjaya sampai ke puncak itu pada Khamis.

Yang Dipertua MPSepang, Datuk Abd Hamid Hussain berkata, ia adalah pendakian kali kedua selepas misi pertama pada 2019 bagi mempromosi Tahun Melawat Sepang.

“Pada 2019 kita promosi Tahun Melawat Sepang. Pendakian kali ini untuk promosikan batik Selangor sekaligus akan dimuatkan dalam Malaysia Book Of Records.

“Justeru, MPSepang mengambil inisiatif ini dengan kolobrasi bersama Exco Kerajaan Negeri Selangor, Borhan Aman Shah untuk memperagakan Batik Selangor yang menampilkan rekaan bermotifkan corak Bunga Tanjung.

”Bunga Tanjung menjadi identiti Negeri Selangor kerana mempunyai 9 kelopak yang mewakili 9 daerah di Negeri Selangor.

“Gunung Kinabalu dipilih bagi membolehkan lebih ramai masyarakat Sabah dan Sarawak mengetahui negeri ini mempunyai hasil batik dengan corak bercirikan Selangor,” katanya.

Misi pendakian itu diketuai Abd Hamid bersama pengarah-pengarah jabatan dan kakitangan pihak berkuasa tempatan itu (PBT).

Pada 1 Disember 2022 lalu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari melancarkan batik Selangor bercorak bunga tanjung kelopak sembilan sebagai simbolik sembilan daerah yang terdapat di negeri ini.

Inisiatif itu sejajar dengan usaha Kerajaan Negeri Selangor yang memperkenalkan dan mempromosikan Batik Selangor sebagai salah satu pakaian di dalam upacara atau majlis rasmi negeri.

 

Author

Pilihan Editor