SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan akan memperluaskan kawasan penanaman padi sehingga 50 ekar di Londah dekat sini bagi meningkatkan pengeluaran beras di negeri, sekali gus mengurangkan import.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Bakri Sawir berkata, ketika ini ia dalam proses perancangan pengairan bersama Jabatan pengairan dan Saliran (JPS) negeri dengan kerja pembersihan tanah akan dimulakan dalam masa terdekat.
“Ia juga selari dengan dasar kerajaan sebelum ini yang mahukan pengeluaran padi tempatan sebanyak 75 peratus dalam tempoh beberapa tahun akan datang.. Saya rasa tahun ini kita selesai proses penebasan dan pembersihan, sebab kawasan itu masih lagi terbiar dan semak samun setakat ini.
“Kita juga melihat kelestarian bekalan air untuk tanaman itu, sebab kita risau bila dah bina segala kemudahan dan sebagainya, sumber air untuk mengairi tanaman pula tidak mencukupi. Kita perlu teliti betul-betul sumber air kekal dan tambah kawasan pengeluaran makanan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Wisma Negeri di sini.
Beliau berkata, pembukaan kawasan baharu untuk penanaman padi itu bukan sahaja meningkatkan keterjaminan makanan malah dapat membuka peluang pekerjaan terutama kepada penduduk setempat, dan Negeri Sembilan juga berhasrat menjadi antara negeri pengeluar padi untuk negara.
Mengakui banyak sawah padi terbiar seperti di Jelebu, Kuala Pilah dan beberapa daerah lagi, Bakri berkata ia mungkin disebabkan masalah pengairan yang berkurangan akibat daripada pembukaan hutan untuk rancangan tertentu selain masalah cuaca dan modal serta pembangunan sektor lain.
Beliau berkata, kerajaan negeri juga akan mewujudkan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) untuk tanaman sayur-sayuran, kontan dan napier di kawasan seluas 100 ekar di Gemas dalam waktu terdekat bagi menggalakkan pertanian secara berskala besar, komersial dan berteknologi tinggi.
Sementara itu, Bakri berkata kerajaan negeri sedia mencari kawasan tanah atau gudang lama untuk dijadikan kawasan penanaman menegak (vertical farming) sebagai alternatif bagi menampung keperluan makanan pada masa akan datang.
Bagaimanapun, menurutnya Negeri Sembilan masih mempunyai banyak tanah terbiar dan ia bukanlah keutamaan pada masa ini, namun langkah itu boleh dilaksanakan akan datang sekiranya tanah makin mengecil berikutan pembangunan.
“Ia bukanlah kaedah baharu tapi boleh difikirkan untuk dilaksanakan di negara ini malah kaedah ini juga sudah popular di Singapura kerana menjimatkan ruang. Vertical farming biasanya melibatkan jenis sayuran bertingkat seperti sawi, bendi dan salad,” katanya. – BERNAMA