PUTRAJAYA: Enam pertubuhan bukan kerajaan (NGO), yang mewakili kira-kira 320,000 pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang mempunyai baki simpanan RM100,000 ke atas, menyeru agar kerajaan membenarkan pencarum membuat pengeluaran kecemasan secara bersasar segera.
Antara NGO terlibat adalah Global Human Rights Federation (GHRF), Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Independant Living and Training Centre Malaysia.
Presiden GHRF, S. Shashi Kumar berkata, rakyat sedang bergelut dengan situasi ekonomi negara yang terjejas terus dan tertekan oleh kos kehidupan harian yang kian meningkat.
Beliau berkata, para pencarum pada satu sesi dialog pada 4 Februari lepas, telah meluahkan keperitan dan penderitaan hidup akibat pandemik COVID-19 dan sehingga kini tidak dapat memulihkan kehidupan harian termasuk dibelenggu hutang tertunggak akibat kehilangan pekerjaan, pinjaman wang dan kadar bunga yang tinggi, serta gaji bulanan yang tidak dapat menanggung kos harian.
“Terdapat 15.5 juta ahli KWSP setakat Jun 2022 dan bukan semua pencarum yang minta buat pengeluaran. Oleh itu, kerajaan perlu beri pertimbangan untuk membenarkan individu yang terdesak membuat pengeluaran, supaya membantu mereka untuk memulakan hidup semula serta menempuh waktu yang susah ini,” katanya.
Shashi berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum untuk perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, supaya dapat membenarkan pencarum yang layak membuat pengeluaran segera.
Memorandum itu diterima pegawai khas setiausaha sulit kanan di Jabatan Perdana Menteri, Muhammad Fikri Khalid di sini, hari ini. – BERNAMA