BERA: Nyaris berdepan maut, itulah yang digambarkan seorang warga emas apabila motosikal ditungganginya melanggar lubang sebelum dia terjatuh ke atas jalan di Jalan Triang Lama di sini, kelmarin.
Bagaimanapun, mangsa, Jama Rusly Amin, 76, mengalami kecederaan di lutut kanan dan calar di muka akibat terjatuh daripada motosikalnya dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 11.20 pagi.
Difahamkan, kejadian itu adalah yang kedua selepas kes seorang penunggang motosikal menemui ajal akibat terlanggar lubang di Temerloh minggu lalu.
Anak mangsa, Noradham Jama Rusly, 40, berkata, bapanya sering ke Bandar Triang dengan menunggang motosikal dan pada hari kejadian, lelaki itu keluar rumah seawal pukul 8 pagi.
“Bapa memang tahu jalan di situ selalu rosak, cuma semalam (kelmarin) dia tidak perasan lubang itu semakin besar.
“Lubang-lubang di situ ditutup dengan batu, mungkin abah tidak dapat kawal motosikal sebab faktor usia menyebabkan motosikal tergelincir,” katanya seperti dilapor Kosmo hari ini.
Susulan kejadian, pihak berkuasa tampil melaksanakan kerja-kerja baik pulih jalan petang semalam selain meletakkan kon dan tanda tanda sebagai peringatan kepada pengguna.
Pada masa sama, Noradham berharap kerosakan jalan yang boleh ‘menempah maut’ itu dapat diperbaiki dengan sempurna bagi memastikan tiada lagi insiden seperti yang dialami bapanya berlaku.
“Saya sedia maklum, jalan itu telah dibaiki berulang kali tetapi masih berlubang di tempat yang sama, janganlah sekadar buat, bila berlubang tampal tapi cara kerja tidak berkualiti, biarlah buat betul-betul,” jelasnya.