HomeBeritaMahkamah & JenayahPeguam SM Faisal anggap kecemerlangan pendidikan Emilia tak relevan

Peguam SM Faisal anggap kecemerlangan pendidikan Emilia tak relevan

KUALA LUMPUR : Suasana dari kamar Mahkamah Majistret Jenayah 3 agak ‘hangat’ apabila peguam mewakili SM Faisal SM Nasimuddin beberapa kali membantah keterangan secara lisan Emilia yang dianggapnya tidak relevan dengan pendakwaan.

Datuk Jagjit Singh dengan intonasi suara yang agak tinggi membantah keterangan Emilia ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Nur Aishah Ahmad Zakiuddin berhubung latar belakang dirinya.

Beliau mempersoalkan relevan soalan terhadap kes yang dihadapi anak guamnya.

Nur Aishah kemudiannya membalas dengan memaklumkan bahawa dalam prosiding terdahulu tanpa kehadiran Jagjit, mahkamah telah diberitahu bahawa Emilia ketika ini seorang freelance dan walaupun dia suri rumah ketika perkahwinan tetapi dia memiliki ijazah dari luar negara dan  mendidik anak-anaknya sehingga berjaya.

Terdahulu, Emilia menjelaskan anak sulung berjaya mendapat tawaran melanjutkan pengajian ke universiti walaupun lambat menghadiri sesi temuduga kerana diminta beri keterangan di mahkamah pada 3 Mac lalu.

“Saya belajar di sekolah rendah dan menengah di Damansara Jaya, saya merupakan pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan pangkat satu. Dengan keputusan cemerlang SPM, saya mendapat biasiswa melanjutkan pelajaran ke UK selama 5 tahun.

“Semasa belajar di UK, saya ditempatkan di sekolah berasrama penuh di Harrogate, North Yorkshire, UK selama dua tahun untuk mengambil peperiksaan di peringkat “A-Level”.

“Saya juga telah memenangi anugerah pertandingan cemerlang dalam bidang Ekonomi dari ‘Institute of Directors’ (IoD) dan menerima anugerah berprestij tersebut (pencapaian tempat kedua di seluruh UK) yang disampaikan di ibu pejabat IoD di Pall Mall, London.

“Saya juga merupakan penerima anugerah ‘Silver Duke of Edinburgh’ dan telah menerima anugerah tersebut di Royal Albert Hall, London daripada mendiang Putera Phillip, ” katanya ketika memberi keterangan di kandang saksi.

SM Faisal SM Nasimuddin bersama barisan peguamnya selepas menghadiri prosiding di Mahkamah Kuala Lumpur.

Emilia yang belum selesai memberi keterangan berkenaan pengajian tingginya di universiti luar negara kerapkali telah disekat oleh Jagjit.

Turut hadir, peguam pemerhati, Amirul Iman Dollah, Ayzad Zaqwan Zainal dari Tetuan Nazri Yahya & Co mewakili Emilia.

Juga hadir bersama, saksi kes Elisa Nani, wakil Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Gulab Jan Fazal Eladi dan wakil Women’s Aid Organisation dan pengasas WIBAWA Nik Elin Nik Rashid.

SM Faisal diiringi penjaminnya yang juga pemandu peribadi memakai baju kemeja dan seluar denim hadir ke mahkamah.

Turut bersama Faisal adalah seorang lagi peguambela, Wan Nurliyana Abdul Rahman yang juga merupakan sepupunya

Terdahulu, majistret, Nadia Othman membenarkan Emilia untuk menyerahkan pernyataan saksi bertulis untuk dibacakan pada prosiding seterusnya yang ditetapkan pada 14 Mac.

SM Faisal didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Emilia, di sebuah rumah di Desa Sri Hartamas, Brickfields di sini antara 12.30 tengah hari dan 4.30 petang pada 22 November 2015.

Pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum bawah Seksyen 326A kanun sama, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Nizam Bashir

Dalam pada itu, peguam pemerhati, Nizam Bashir memberitahu, tanpa memberi komen secara khusus kepada mana-mana kes, mengikut amalan biasa mahkamah jenayah, keterangan lisan wajar diutamakan dalam kes-kes jenayah berdasarkan “principle of orality” yang juga berkait rapat dengan konsep pengadilan terbuka (“open justice).

“Dalam kes jenayah ia penting untuk Mahkamah perbicaraan menimbang keterangan dalam bentuk lisan dari Orang Kena Tuduh (OKT).

“Dan juga penting pengadu kerana kes jenayah memerlukan pembuktian tinggi tanpa keraguan munasabah, jadi tiada sebab kenapa mahkamah perlu dihalang dari meneliti keterangan saksi dalam bentuk sepatutnya iaitu keterangan lisan.

Apatah lagi sekiranya diambil kira falsafah “best evidence rule” di dalam Akta Keterangan, 1950 yang secara amnya adalah keterangan hendaklah dalam mana-mana kes keterangan langsung dan bukan keterangan dari pihak ketiga (atau dari sumber ketiga samada dari pihak ketiga atau sumber ketiga dalam bentuk dokumen).

“Keterangan yang menyeluruh adalah lebih adil kepada pengadu dan OKT, sebagai contoh dalam kes rogol atau cabul keterangan yang diberi secara lisan – meskipun wujud apa-apa kenyataan saksi iaitu membenarkan Mahkamah mencapai rumusan yang bersesuaian berkenaan kebolehpercayaan mana-mana saksi, ” katanya.

Tambahnya lagi tanpa memberi komen khusus kepada mana-mana kes, katanya mahkamah adalah tempat pengadilan terbuka untuk penilaian orang awam.

“Konsep pengadilan terbuka (“open justice”) adalah suatu prinsip undang-undang di mana prosiding kehakiman hendaklah dijalankan dalam cara yang telus di mana orang awam dan media yang hadir berhak untuk hadir dan menilai prosiding yang dijalankan.

“Disebabkan ketelusan itu, wujud jaminan pengadilan untuk mana-mana pihak yang mahu mendapatkan keadilan, ” katanya.

Prosiding untuk mendengar keterangan Emilia disambung pada 14 Mac depan.

Author

Pilihan Editor