HomeSukanPemenang pingat emas Vietnam di Olimpik 2024 bakal terima AS$1 juta

Pemenang pingat emas Vietnam di Olimpik 2024 bakal terima AS$1 juta

SUKAN Olimpik 2024 di Perancis menawarkan habuan yang lumayan buat atlet Vietnam.

Mana tidaknya, mana-mana atlet Vietnam yang memenangi pingat emas di temasya Sukan Olimpik 2024 tersebut akan mendapat bonus sebanyak AS$1 juta (RM4.3 juta).

Manakala, atlet yang membawa pulang pingat pingat perak dan gangsa akan mendapat $500,000 dan $200,000.

Menurut laporan VN Express International, bonus itu hasil daripada perjanjian yang ditandatangani oleh Jawatankuasa Olimpik Vietnam (VOC) dan rakan strategik Persatuan Pembiayaan & Sokongan Sukan Antarabangsa (ISF) di Korea Selatan dan akan menaja keseluruhan jumlah tersebut.

Setiausaha Agung VOC, Tran Van Manh berkata, pada majlis menandatangani perjanjian itu pada Rabu, “Atlet-atlet ini juga akan mendapat bonus daripada kerajaan. Kami akan terus mencari penaja untuk meningkatkan bonus.”

Sebelum ini, semasa temasya Sukan Olimpik 2020, Vietnam mengumumkan bonus sebanyak AS$80,000, AS$51,000 dan AS$27,300 untuk pemenang pingat emas, perak dan gangsa.

Manakala, Singapura menghadiahkan sebanyak AS$738,000 kepada pemenang pingat emas mereka. Indonesia, Malaysia dan Filipina pula memberi bonus sebanyak AS$346,000, AS$237,000 dan AS$200,000. 

Pada temasya Sukan Olimpik 2016 di Rio, penembak Vietnam, Hoang Xuan Vinh telah memenangi pingat emas dan perak serta menerima VND180 juta (AS$7,675) daripada kerajaan walaupun bonus daripada pihak lain menjadikan jumlah keseluruhan hampir VND5 bilion (AS$213,220).

Untuk rekod, hanya empat atlet Vietnam sahaja yang telah memenangi pingat di Olimpik.

Sebelum Xuan Vinh, Tran Hieu Ngan memenangi perak dalam acara taekwondo di Olimpik Sydney 2000, Hoang Anh Tuan membawa pulang perak dalam angkat berat pada 2008 dari Beijing dan Tran Le Quoc Toan mendapat satu lagi perak pada sukan London 2012.

Author

Pilihan Editor