KUALA LUMPUR: Lebih sebulan berjuang, akhirnya wanita yang kulitnya tertanggal akibat diberi salah dos ubat menghembuskan nafas terakhir pada malam Khamis.
Khabar duka itu dimaklumkan suaminya, Dzulkhairi Harun, 50, bahawa isterinya, Sina Ramli meninggal dunia di Hospital Serdang jam 11.49 malam.
Arwah Sina disahkan menderita Nekrolis Epidermal Toxic” atau Steven Johnson berpunca dari alergik ubat yang diberi oleh sebuah klinik swasta.
Ubat Dynormin tablet 50 miligram dikatakan punca kulit isterinya tertanggal dan lumpuh separuh badan.
Dzulkhairi berkata, keluarganya akan mendapatkan laporan penuh perubatan di Hospital Serdang pada Isnin depan bagi mengesahkan punca kulit isterinya tertanggal dan lumpuh.
“Hospital Serdang memaklumkan laporan perubatan hanya boleh diberi selepas pesakit keluar sahaja namun pesakit sudah meninggal dunia sebelum laporan itu diberi.
“Jika keluarga diberi awal laporan perubatan itu mungkin sesuatu pilihan tindakan boleh diambil namun sudah terlambat.
“Arwah dikebumikan di Tanah Perkuburan Cheras Perdana pada Jumaat.
“Moga arwah ditempatkan di sisiNya, segala derita sudah berakhir untuknya,” katanya kepada MEDIA VARIASI yang sebelum ini membuat aduan ke Persatuan Pengguna Islam Malaysia.
Arwah Sina dimasukkan ke unit kecemasan Hospital Serdang pada 2 Januari lalu.
Pihak hospital pada awalnya telah membuat pemeriksaan menyeluruh dan keputusan menunjukkan semuanya normal dan dibenarkan pulang tanpa sebarang ubat.
Bagaimanapun ketika itu seluruh badan Sina sudah menunjukkan tanda kegatalan dan tidak boleh berjalan.
Di hospital, arwah masih teruskan makan ubat darah tinggi yang sama diberi doktor. Selepas itu, muka dan bibirnya terus membengkak.
Pada 2 Januari, doktor mengesahkan Sina menghidap penyakit “Nekrolis Epidermal Toxic” atau Steven Johnson berpunca dari alergik ubat.
Pada 6 Januari, doktor mendapati kesan alergik ubat ini menyebabkan kerosakan pada buah pinggang, dan darah perlu ditukar selain tidak boleh makan minum, hilang ingatan dan lumpuh.
Sehubungan itu, Dzulkhairi telah membuat satu laporan polis berhubung kecuaian doktor di Ibu Pejabat Daerah Dang Wangi.