PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan jumlah peruntukan Belanjawan 2023 yang akan dibentang pada 24 Februari ini ‘dikurangkan’ namun ia tidak akan membebankan program pembangunan negara.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, beberapa strategi belanjawan dan angka awal untuk Belanjawan 2023 telah dibentang kepada Jemaah Menteri dalam mesyuarat Kabinet hari ini.
“Saya bentangkan strategi belanjawan dan angka awal kerana negara tidak boleh bertahan dengan defisit tinggi.
“Sejauh mana mampu kita kurangkan dan pengurangan yang tidak bebankan program pembangunan kita,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat itu di sini.
Persidangan Dewan Rakyat dijadualkan bermula pada 13 Feb ini dan Perdana Menteri akan membentangkan Belanjawan 2023 pada 24 Feb.
Sementara itu, beliau berkata, negara perlu melakukan perubahan dari aspek teknologi dan digital bagi memastikan pekerja tempatan mendapat peluang pekerjaan.
Mengambil contoh mekanisme yang dilaksanakan oleh Permodalan Nasional Berhad, Anwar berkata tiada sebarang masalah timbul bagi pengambilan pekerja tempatan untuk bekerja di ladang.
Menyentuh isu pekerja asing, beliau mahu pemantauan dilaksana oleh Kementerian Dalam Negeri supaya pendaftaran golongan itu dapat dilakukan tanpa menggunakan ejen yang akan melibatkan kos tinggi.
“Contohnya bagi Nepal, kos hanya RM3,700 tetapi Bangladesh dan Indonesia masing-masing melibatkan kos antara RM20,000 hingga RM25,000,” katanya.
Perdana Menteri berkata, perhatian akan diberikan kepada perkara itu dan kenaikan upah tidak menjadi masalah namun kenaikan bayaran untuk ejen merupakan satu perhambaan moden.
Ditanya mengenai calon pengganti Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun yang bakal tamat tempoh perkhidmatan pada Mac ini, Anwar berkata, perkara itu masih belum dibincangkan.
Media sebelum ini melaporkan tiga nama hakim telah dikemukakan kepada Jabatan Perdana Menteri untuk menggantikan Idrus, yang dilantik secara kontrak selama setahun bermula 6 Mac 2020. – BERNAMA