CYBERJAYA: Gara-gara pernah mengaku dirinya ‘Imam Mahdi’, seorang lelaki didenda RM4,500 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Seremban, Negeri Sembilan, hari ini.
Tertuduh, Habib Shah Firdaus Habib Ahmad, 60, pemimpin Tarekat Al-Naqsyabandiyyah Al-Khalidiyyah, mengaku bersalah menghina agama Islam dengan mengaku sebagai Imam Mahdi secara palsu.
Habib yang juga merupakan pengusaha tempe itu turut dijatuhkan hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayar denda terbabit, lapor Berita Harian.
Kesalahan terbabit didakwa dilakukan Habib pada Januari hingga Mac tahun lalu di Markas Tarekat al-Naqsyabandiyyah Al-Khalidiyyah, Jalan Labu Batu 8, Kampung Jawa, Seremban, Negeri Sembilan.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 50 (i) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Dalam prosiding yang berlangsung hari ini, peguambela tertuduh, Ahmad Shaher Mohd Fuad, memohon Habib dikenakan denda dan tiada hukuman penjara kerana sudah berusia selain menanggung isteri yang tidak bekerja serta dua orang anak.
Malah, Ahmad Shaher memaklumkan anak guamnya itu turut mempunyai masalah kesihatan.
Bagaimanapun, pendakwaan yang dijalankan Timbalan Ketua Pendakwa Syarie, Rohaizad Redzuan, membuat kata putus supaya tertuduh diamanahkan oleh Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan untuk menjalankan aktiviti tarekat yang tidak keluar daripada landasan al-Quran dan Sunnah.
“Perbuatan menghina agama ada kaitan dengan ajaran sesat yang menjurus kepada jenayah akidah dan perlu dipandang serius,” katanya.