MELAKA: Seorang penyelia syarikat keselamatan didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini atas pertuduhan mengedar dadah jenis heroin seberat 1.4 kilogram awal bulan ini.
Mohd Amali Masturo, 36, dituduh mengedar dadah itu di tepi Jalan T-U 60, Taman Tasik Utama berhadapan Pangsapuri Sri Utama, Ayer Keroh di sini pada 9 malam, 2 Februari lepas.
Pertuduhan mengikut Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39(B)(2) akta sama yang membawa hukuman gantung sampai mati.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa ASP Nora Yaacob manakala tertuduh diwakili peguam Andrew Lourdes. – BERNAMA