HomeSukanPerbanyakkan pertandingan sukan untuk prestasi atlet - Hannah Yeoh

Perbanyakkan pertandingan sukan untuk prestasi atlet – Hannah Yeoh

SHAH ALAM: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh percaya, lebih banyak penganjuran kejohanan pertandingan sukan, lebih baik untuk memperbaiki prestasi atlet secara berkesan.

Justeru, Ahli Parlimen Segambut itu dijangka mengesyorkan cadangan peruntukan mencukupi bagi memperbanyakkan penganjuran kejohanan, pada Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 24 Februari ini.

“Dalam dialog saya dengan atlet sebelum ini, mereka (suarakan) perlukan lebih banyak ‘tournament’. Kalau ada lebih banyak peluang untuk bertanding, mereka akan baiki prestasi kerana dari situ banyak yang boleh diperbaiki.

“Itu sebab dalam bajet akan datang, kita nak berjuang, bekerja keras bagaimana kita boleh gunakan (cadang) dana untuk banyakkan tournament.

“Kadang-kadang, kita lihat atlet teratas nombor dua dan tiga ada peluang, tetapi jika ada ‘exposure’ mencukupi, mungkin nombor lima boleh naik, jika bajet tak cukup orang yang teratas sahaja yang pergi (wakil negara), yang lain tak ada peluang,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Logo Malaysia Olympians Association dan Kempen Tabung Dana The Spirit of Olympism 2023 anjuran kerjasama Heriot-Watt University Malaysia, di I-City, Shah Alam.

Yang turut hadir, Presiden Malaysia Olympians Association, Noraseela Mohd Khalid; Provost dan Ketua Pegawai Eksekutif Heriot-Watt University Malaysia, Professor Mushtak Al-Atabi, dan Presiden Persatuan Mahasiswa Heriot-Watt University Malaysia, Ilya Sulaiman Dali serta Pengasas Haruka Bakery, KC Lee.

Hannah juga menjelaskan, beliau juga menerima banyak permohonan dan surat berhubung kementeriannya, terutama membabitkan dana.

“Saya sudah jumpa dengan Kementerian Kewangan minggu lepas, saya katakan kita perlukan formul, idea baharu untuk dapatkan dana yang mencukupi sebab semua persatuan sukan tak cukup duit.

“Kalau dulu, kerajaan Persekutuan beri duit kepada kerajaan negeri untuk bina stadium dan infrastruktur, tapi selepas bina, kerajaan negeri tak ada duit untuk selenggara, jadi sebab itu kita perlukan formula baharu,” katanya.

Author

Pilihan Editor