HomeBeritaPolitikPertandingan jawatan naib presiden dan ke bawah wujud persaingan sihat - Ahmad...

Pertandingan jawatan naib presiden dan ke bawah wujud persaingan sihat – Ahmad Zahid

 

KUALA LUMPUR: Pertandingan bagi merebut empat jawatan Naib Presiden UMNO serta jawatan ke bawah pada pemilihan parti mewujudkan persaingan sihat, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, walaupun terdapat dakwaan pertandingan jawatan akan membuka ruang kepada wujudnya kem-kem calon, pemilihan yang dibuat di peringkat akar umbi adalah lebih penting.

“…dengan penawaran diri (calon) bagi jawatan Naib Presiden dan ke bawah ini adalah persaingan sihat dan saya rasakan yang penting adalah bukan pemilihan yang dibuat melalui kumpulan ‘sepapan’ (kem).

“Tetapi yang lebih penting, pada hemat saya pemilihan dibuat di peringkat bahagian dan cawangan-cawangan akan memilih individu daripada kalangan calon terbaik pada 18 Mac nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Bengkel Hala Tuju Strategik Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di sini hari ini.

Ahmad Zahid mengulas mengenai khabar angin kononnya pertandingan jawatan Naib Presiden akan mewujudkan kem-kem calon pada pemilihan parti.

Pada 28 Januari lepas, UMNO memutuskan bahawa pemilihan parti itu bermula 1 Februari melibatkan mesyuarat dan pemilihan bagi jawatankuasa cawangan, Pemuda, Wanita dan Puteri cawangan yang berlangsung selama 26 hari sehingga 26 Februari.

Manakala mesyuarat perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO akan diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac depan.

Saingan merebut jawatan empat Naib Presiden pada pemilihan UMNO dijangka sengit, dengan seorang penyandangnya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengesahkan mempertahankan jawatan itu sementara bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohamad turut mengumumkan bertanding jawatan tersebut. – BERNAMA

 

Authors

Pilihan Editor