KUALA LUMPUR: Teka-teki peminat akhirnya terjawab apabila Radio Televisyen Malaysia (RTM) diumumkan sebagai rakan penyiar Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bagi saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2023, yang akan membuka tirai pada 24 Februari ini.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, RTM akan menyiarkan secara langsung 75 perlawanan Liga-M 2023 merangkumi beberapa saingan termasuk perlawanan Piala Sumbangsih, Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.
Beliau berkata, perlawanan pertama akan disiarkan pada 24 Februari melibatkan aksi Piala Sumbangsih antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC yang dijadual berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, Johor.
“Kesemua siaran langsung pada waktu sebenar perlawanan ini boleh disaksikan di saluran TV2, Sukan RTM dan TV Okey serta penstriman langsung melalui aplikasi RTMKlik,” katanya menerusi kenyataan Kementerian Komunikasi dan Digital, hari ini.
Sementara itu, MFL dalam kenyataan berasingan mengumumkan Astro turut menjadi rakan penyiar Liga-M musim ini.
Menurut kenyataan itu semua perlawanan yang akan disiarkan Astro dalam definisi tinggi (HD) meliputi perlawanan Piala Sumbangsih, Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia boleh ditonton di platform linear (TV), On Demand dan Astro GO.
“Saya percaya dengan sokongan dan komitmen rakan penyiar tempatan, ia bukan hanya demi kepuasan kualiti tontonan peminat tanah air malah dapat meningkatkan nilai komersial Liga-M yang akhirnya akan memberi pulangan besar buat pasukan serta pemain,” kata Presiden MFL Datuk Ab Ghani Hassan.
Sebagai rekod, 14 pasukan akan bertanding dalam saingan Liga Super musim ini selepas penstrukturan Liga-M, dengan JDT yang merupakan juara sembilan kali berturut-turut dijangka menerima tentangan sengit dalam mempertahankan gelaran. – BERNAMA