KUALA LUMPUR: Skim penipuan pelaburan kripto, Zuttelo yang membabitkan kerugian lebih RM3 bilion didakwa berselindung di sebalik syarikat insurans.
Wakil Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) yang juga mangsa kepada Zuttelo, Andrew Foo mendedahkan perkara itu antara punca ramai sanggup melabur.
“Mangsa menyangkakan pelaburan kripto ini sahih kerana ia menggunakan syarikat insurans kereta sejak beroperasi tahun 2020.
“Ramai pelabur menyertai skim ini ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) setelah kehilangan kerja.
“Pelaburan adalah dalam bentuk wang tunai atau mata wang kripto menerusi satu aplikasi.
“Pada awalnya pelabur menerima pulangan seperti saya terima RM70 sehari sejak 2020 dan sehingga bulan Jun tahun lalu tiba-tiba ia berubah.
“Pada Jun, mereka memaksa pelabur menambah nilai pelaburan jika tidak pelaburan akan terhenti, jadi saya telah laburkan RM160,000 sebelum tiba-tiba aplikasi berkenaan ditutup Ogos tahun lalu dan tiada pulangan sejak Jun,” katanya kepada media.
Terdahulu, Penasihat MHO, Tan Sri Musa Hassan; Setiausaha Agungnya, Datuk Hishamuddin Hashim dan mangsa skim penipuan pelaburan Zutello mengadakan kunjungan ke Ibu Pejabat Polis JSJK Bukit Aman, di sini.
Untuk rekod, MHO mengenal pasti seramai 10,000 individu dikenal pasti menjadi mangsa penipuan satu sindiket pelaburan berasaskan insuran perlindungan dengan kerugian lebih RM3 bilion.
Dalam pada itu, jelas Andrew berkata, laporan polis dibuat pada November tahun lalu namun kes itu direkod No Further Action.
“Ia kerana pelaburan dianggap perjudian bukan scam dan dalang serta ketua sindiket tidak dapat dikaitkan kerana mereka menggunakan orang tengah,” katanya.
Untuk rekod, menurut Setiausaha Polis Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) masih menjalankan siasatan terhadap sindiket.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan PDRM mengingatkan orang ramai untuk sentiasa berwaspada serta melaksanakan semakan yang lebih terperinci dari sumber-sumber rasmi seperti Semak Mule, alert list Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sebelum membuat keputusan untuk menyertai apa jua skim pelaburan.