HomeBeritaSelsema, batuk, punca bekas DUN Batang Kali tak datang sesi persidangan

Selsema, batuk, punca bekas DUN Batang Kali tak datang sesi persidangan

CYBERJAYA: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Kali, Harumaini Omar mendakwa ketidakhadiran beliau ke persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor adalah atas sebab masalah kesihatan diri dan keluarga.

Bekas ADUN daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu berkata, beliau bimbang sekiranya keadaan batuk dan selesema yang dialaminya pada 22 November tahun lalu, iaitu sehari sebelum persidangan berlangsung akan memudaratkan individu lain di DUN.

“Sidang dewan berlangsung pada 23 November, jadi saya rasa dilema sama ada saya perlu pergi mesyuarat atau tidak. Kalau saya pergi mesyuarat nanti, mungkin akan menyebabkan selsema dan batuk merebak.

“Saya buat ujian kendiri dan bimbang benda-benda itu akan menjangkiti rakan saya di DUN. Oleh kerana itu pun, pernah kena COVID-19 dan isteri saya pun tak berapa sihat, jadi fikiran saya agak terganggu sedikit pada waktu itu,” katanya seperti dilapor Astro Awani pada Jumaat.

Pada masa sama, Harumaini turut mendakwa bahawa tidak menerima sebarang notis dan tidak diberi peluang membela diri berhubung kekosongan kerusi DUN Batang Kali pada Khamis.

Malahan, Harumaini akui keliru dengan tafsiran undang-undang yang mendakwa dirinya tidak hadir selama enam bulan tanpa sebarang notis.

Jelasnya, beliau hadir pada persidangan DUN yang berlangsung pada Julai tahun lalu.

“Cumanya adakah bulan Ogos, September, Oktober dan tiga suku daripada bulan November, serta tiga suku Disember, dan dari 1 hingga 26 Januari 2023, tarikh-tarikh yang saya sebut itu tidak ada sidang DUN berlangsung.

“Jadi, adakah ketiadaan sidang DUN itu berlangsung, dikira dari bulan Julai hingga Januari 2023 yang dikatakan selama enam bulan saya tak datang? Itu yang menjadikan saya keliru dari segi tafsiran undang-undang.

“Pada taksiran saya, kalau nak kira enam bulan tak hadir, Parlimen pun bersidang sebulan sahaja. Tak kan DUN yang lebih kecil ini bersidang sampai enam bulan? Jadi itu yang membuatkan saya keliru dengan tafsiran undang-undang yang dibaca pihak berkenaan,” ujarnya.

Susulan kekosongan kerusi DUN terbabit, Harumaini berpandangan kekosongan kerusi perlu disahkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan sebarang keputusan yang dibuat perlu dilakukan secara adil.

“Jadi, saya akui memang orang-orang berkenaan ada kuasa tertentu tetapi biarlah kuasa itu dijalankan secara adil dan saksama dalam menentukan keadaan yang sebenar.

“InsyaAllah untuk permulaan ini saya akan minta penjelasan daripada pihak yang mengeluarkan arahan tersebut,” ujarnya.

Author

Pilihan Editor