HomeBerita'Tasbih sentiasa di tangan' - Ustazah Asma' Harun dedah kisah di sebalik...

‘Tasbih sentiasa di tangan’ – Ustazah Asma’ Harun dedah kisah di sebalik penampilan pramugari Emirates

CYBERJAYA: Meskipun tidak menutup aurat dengan sempurna, namun jauh di sudut hati masih punya iman di dada yang sentiasa mengingati Tuhan.

Itulah yang dapat diungkap berhubung perkongsian personaliti dakwah, ustazah Asma’ Harun baru-baru ini, berkongsi kisah tentang dua orang pramugari yang ditemuinya ketika penerbangan ke Ghana.

Dalam perkongsian itu, ustazah Asma’ menyatakan kedua pramugari berkenaan amat teruja sewaktu bertemu dengannya.

*Kedua pramugari ini tidak bertudung, tetapi telah diedit sebagai tanda hormat dan sayang keduanya – Ustazah Asma’ Harun | Foto: FB Ustazah Asma’ Harun

“Ketika dalam perjalanan menuju ke Ghana, saya bertemu dengan dua orang pramugari Malaysia dari Emirates Airlines, pramugari tersebut menyapa dengan penuh teruja “Ustazah, saya tak pernah rasa teruja macam ni” sambil air mata mengalir, saya terus peluk dengan seikhlas hati.

“Ceritanya, “kebiasaannya kami yang bertugas sebagai pramugari akan berjumpa dengan ramai orang yang terkenal seperti selebriti, perdana menteri dari seluruh dunia, dan ramai lagi mereka yang ternama”.

“Namun kami tak pernah sangat teruja seperti ini, saat bertemu dengan ustazah, tapi kami segan sebab penampilan kami, namun syukur ustazah tidak langsung memandang kami berbeza, itu membuatkan kami sangat terharu. Saya peluk keduanya sekali lagi,” tulisnya di Facebook.

Menurut ustazah Asma’, satu hal yang membuatkan dia kagum dan malu dengan kedua wanita itu apabila kelihatan tasbih sentiasa berada di tangan mereka.

Ketika ditanya berhubung mencari pekerjaan lain, kedua wanita itu mengakui sudah 20 tahun berikhtiar mencari pekerjaan namun mungkin rezeki buat mereka belum tiba.

Pada masa sama, ada perkara yang buatkan mereka kekal bertugas di awan biru itu.

“Ustazah, kenapa kami tetap bertahan sehingga kini, antaranya… kerana jika bukan kami yang bertugas, bagaimana dengan penumpang Muslim yang akan bertanya setiap kali penerbangan terutamanya soalan tentang waktu solat, arah kiblat dan lain-lain, kerana itulah kami tetap bertahan,” kongsi mereka kepada ustazah Asma’.

Tambahnya lagi, perkara sedemikian bukanlah pertama kali berlaku kerana kerap kali juga pramugari dari syarikat penerbangan lain yang meluahkan hal sama.

Dalam pada itu, ustazah Asma’ berharap di suatu saat nanti, semua syarikat penerbangan memberi pilihan kepada para pramugari Muslimah untuk memakai pakaian indah menutup aurat dan patuh syariah.

“Muhasabah bersama, jangan kita mudah bersangka tidak baik kepada orang lain, elakkan menghukum sesiapa yang kita lihat di sekeliling, sama ada dia berpakaian seksi, belum menutup aurat dan sebagainya, namun latihlah diri untuk mendoakan kebaikan serta berilah saranan dan nasihat yang terbaik buat mereka, semoga Allah permudahkan dan buka jalan keluar buat mereka,” titipnya.

 

Author

Pilihan Editor