KUALA LUMPUR: Sebuah universiti swasta di ibu negara telah menyekat akses di portal pengajian anak sulung Emilia Hanafi gara-gara kelewatan bayaran yuran sekolah tunggakan berjumlah RM6,458 yang sepatutnya dibayar pada awal bulan Februari.
Emilia, bekas isteri kepada Pengerusi Bersama Kumpulan Naza, Datuk Wira SM Faisal SM Nasimuddin menjelaskan kepada mahkamah dalam prosiding ketika memberi keterangan secara lisan pada hari ini bahawa anak sulung mereka telah menerima tawaran kemasukan ke universiti itu pada 7 Februari lalu.
Selanjutnya, peguam pemerhati mewakili Emilia, Amirul Iman Dollah dari Tetuan Nazri Yahya & Co ketika diminta mengulas isu yuran pengajian anak Emilia berkata, kelewatan pembayaran yuran sekolah menyebabkan pihak universiti telah menyekat portal pengajian terbabit.
“Mengikut prosedur universiti berkenaan bayaran perlu dibuat terlebih dahulu bagi membolehkan pelajar mendapat akses portal pengajian,” katanya kepada MEDIA VARIASI ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Kuala Lumpur di sini.
Emilia Hanafi bersama barisan peguamnya selepas prosiding kes keganasan rumah tangga di Mahkamah Kuala Lumpur.
Menurut peguam pemerhati Emilia, Nizam Bashir dari Nizam Bashir Associate, pada hari ini Majistret, Nadia Othman telah membenarkan Emilia untuk menyerahkan pernyataan saksi bertulis untuk dibacakan pada prosiding seterusnya yang ditetapkan pada 14 Mac.
Terdahulu, peguam Datuk Jagjit Singh kelihatan beberapa kali membantah keterangan secara lisan yang dibuat oleh Emilia, di mana Jagjit menganggapnya tidak relevan.
Turut hadir, peguam pemerhati, Ayzad Zaqwan Zainal dari Tetuan Nazri Yahya & Co, Nizam Bashir mewakili Emilia.
Juga hadir bersama, saksi kes Elisa Nani, wakil Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Gulab Jan Fazal Eladi, wakil Women’s Aid Organisation dan pengasas WIBAWA, Nik Elin Nik Rashid.
Untuk rekod, SM Faisal didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Emilia, di sebuah rumah di Desa Sri Hartamas, Brickfields di sini antara 12.30 tengah hari dan 4.30 petang pada 22 November 2015.
Pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum bawah Seksyen 326A kanun sama, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
SM Faisal diiringi penjaminnya yang juga pemandu peribadi memakai baju kemeja dan seluar denim hadir ke mahkamah.
Turut bersama Faisal adalah seorang lagi peguambela, Wan Nurliyana Abdul Rahman yang juga merupakan sepupunya.
Pada sesi mahkamah terdahulu, Emilia memaklumkan walaupun nafkah anak yang diberikan terhad bagi seorang anak dan terpaksa menjual roti jala dan kerepek untuk menambah nafkah sara hidup anak beranak, dia masih berjaya mendidik anak ke menara gading.
Bahkan, untuk rekod, Emilia juga telah mendahulukan RM102,704 untuk bayaran yuran persekolahan dan belum dilangsaikan bekas suaminya itu semenjak 2020, walaupun surat peringatan telah dihantar melalui peguamnya.
TAMBAH AMIRUL LAGI, ANAK SULUNG EMILIA TERPAKSA MENGELUARKAN RM1,650 DARIPADA RM2,000 WANG NAFKAH BULANANNYA UNTUK MEMBAYAR YURAN PENGAJIAN KERANA BIMBANG TIDAK DAPAT MENERUSKAN PROGRAM PENGAJIAN.
“Bagaimanapun, setakat minggu lepas dan pagi ini, akses pengajian anak sulung tetap disekat.
“Sebagai contoh, setelah menolak bayaran yuran sekolah anak sulung, baki nafkah bulanan anak sulung cuma berjumlah RM350 dan itulah nafkah anak untuk segala makan minum, pengangkutan, tempat tinggal, pakaian dan persekolahan anak.
“Kenyataan yang diberikan sebelum ini oleh Emilia berhubung jumlah nafkah anak RM2,000 bagi setiap anak tidak mencukupi kerana perbelanjaan pendidikan tambahan anak-anak di sekolah dan kolej antarabangsa, ” kata Amirul.
Kenyataan yang diberikan sebelum ini oleh Emilia berhubung jumlah nafkah RM2,000 bagi setiap anak tidak mencukupi kerana anak-anak belajar di kolej antarabangsa.
Pihak peguam Emilia juga sudah pun memberikan surat peringatan kepada SM Faisal sebanyak dua kali iaitu pada 11 Januari dan 16 Februari lalu, untuk melunaskan kos pengajian anak sulungnya itu.
Namun demikian, SM Faisal memuatnaik surat tawaran anak sulungnya, selain resit pembayaran kos pengajian anaknya kepada pihak universiti bertarikh 27 Februari, di Instastory, sehari sebelum prosiding kes berlangsung di Mahkamah Majistret, di sini.
Sementara itu, MEDIA VARIASI cuba dapatkan maklum balas pihak SM Faisal dan peguam yang mewakilinya, Akberdin berkata, pihaknya sentiasa membuat bayaran ‘on time’.
“Itu statement dia (Emilia) tetapi anak guam bayar ‘on time’ kalau tak dah kena buang dah,” katanya.