HomeBeritaViralZaman 'viral', PBT kena pantas buat kerja - Netizen

Zaman ‘viral’, PBT kena pantas buat kerja – Netizen

 

CYBERJAYA: Kemajuan teknologi yang serba canggih hingga memudahkan masyarakat berkongsi maklumat ternyata memberi impak tinggi buat sesebuah negara.

Perkongsian video atau gambar yang prosesnya pantas menerusi konsep ‘viral’ membuatkan sesuatu isu itu lebih mudah diketahui masyarakat.

Malah, ada yang menyifatkan kuasa viral yang ada pada masa kini membuatkan pihak berkuasa tempatan (PBT) harus bertindak pantas selari dengan penularan video viral yang tersebar meluas di media sosial.

Perkara sedemikian boleh dikaitkan dengan isu yang sedang hangat diperkatakan dalam kalangan masyarakat iaitu mengenai tindakan warga asing yang semakin melampau hingga berani membuka perniagaan sendiri di pasar harian.

Meninjau di Facebook rasmi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), boleh disifatkan pihak DBKL semakin aktif bertindak membanteras salah laku yang berleluasa di sekitar ibu kota itu.

Malah, DBKL turut cakna akan isu kemasukan warga asing yang seolah-olah mengganggap diri mereka sudah sebati dengan Malaysia hingga tampil berani membuka perniagaan tanpa lesen.

Terbaharu, DBKL dengan kerjasama Majlis Perbandaran Selayang menyerbu lapan perniagaan yang dioperasikan oleh etnik Rohingya dan warga Myanmar di sekitar Pasar Harian Selayang, Kuala Lumpur.

Hasil serbuan mendapati golongan yang ditahan itu hanya memegang Kad Pelarian (United Nations High Commissioner for Refugees) UNCHR.

Malah, DBKL dan MPS turut mengambil tindakan sita dan pindah barangan perniagaan mengikut Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016 dan Seksyen 46(1), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

Mengulas isu kuasa viral, ada sebilangan warga maya yang mengganggap PBT harus peka dengan masalah yang ada di sekeliling kerana jika pihak terbabit ‘lambat atau lewa’, pasti mudah PBT dilabelkan ‘tidak cekap’.

 

Dalam pada itu, ada juga yang menyuarakan pendapat supaya PBT dapat bekerjasama dengan Jabatan Imigresen dalam membanteras peningkatan warga asing di negara ini.

Author

Pilihan Editor