KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengesan sebanyak 6,550 premis perniagaan di bazar Ramadan disyaki meletakkan harga tidak munasabah sejak tempoh awal Ramadan, tahun ini.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata, premis terbabit kini berada di bawah radar pemantauan kementerian.
“Berdasarkan pemantauan sama, sebanyak 893 premis di bazar turut diperiksa berdasarkan 17 aduan pengguna, sejak hari pertama Ramadan.
“Berpandukan kesalahan seperti peniaga naikkan harga barang, kita akan tegur dan tindakan undang-undang akan diambil jika tiada perubahan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi walkabout di BRR Lorong Tuanku Abdul Rahmah Kuala Lumpur.
Menerusi BRR, sebanyak 38 lokasi sedang melaksanakan BRR di seluruh negara termasuk tiga lokasi BRR menawarkan Menu Rahmah bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sepanjang Ramadan ini.
Tiga lokasi membabitkan 41 peniaga itu adalah di Lorong Tuanku Abdul Rahman, tempat letak kereta Lorong TAR Lot 4 dan di Jalan Raja (hadapan gereja).
Pada masa sama, KPDN memperluaskan Program Pendigital Sektor Peruncitan dengan pemberian Insentif e-tunai kepada pengguna atau peniaga dalam bentuk e-dompet kepada 500 pengguna terawal.