MUAR: Banjir yang melanda di Johor nyata meninggalkan kesan mendalam buat penduduk di negeri itu khususnya pada mereka yang tinggal sendirian.
Seperti yang dilalui seorang warga emas ini yang terpaksa bertahan kesejukan dalam air banjir yang setinggi hampir semester dek kerana kediamannya di Kampung Terus Panchor dinaiki air.
Berkongsi detik cemas itu, anaknya, Norisan Ali, 51, berkata, ibunya Esah Md. Yatim, 83, yang menetap bersendirian hanya duduk di bangku kediamannya sambil menantikan kedatangan ahli keluarga untuk menyelamatkannya, kelmarin.
“Sebelum masuk kerja pagi kelmarin, saya sempat telefon emak tanya keadaan rumahnya ada banjir atau tidak, tetapi emak kata tiada apa. Jadi, saya pergi kerja seperti biasa sehinggalah pada tengah hari, adik telefon beritahu rumah emak dah naik air.
“Saya kemudian bergegas telefon suami yang baru selesai kerja syif malam minta datang ke rumah emak tengok keadaannya. Masa suami sampai katanya, emak hanya duduk di kerusi dalam keadaan air banjir yang mulai naik sehingga separuh tubuhnya.
“Kata emak dia tak dapat nak berbuat apa-apa, hanya duduk dan tunggu bantuan daripada anak-anak. Alhamdulillah, mujur tiada apa-apa yang berlaku pada emak,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.
Norisan berkata demikian ketika ditemui media di pusat pemindahan sementara (PPS) di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Pagoh, di sini hari ini.
Maklum Norisan, dirinya sendiri terkejut apabila mengetahui kediaman ibunya dinaiki air dengan cepat kerana pada kebiasaannya apabila hujan berterusan, rumah ibunya itu jarang terjejas akibat banjir.
“Kalau musim tengkujuh pun biasanya air naik sampai buku lali. Jadi, apabila tengok hujan berterusan terfikir nak telefon emak dan saya sangkakan kalau banjir pun mungkin tak setinggi mana.
“Rupanya dalam tengah hari air melimpah laju masuk ke rumahnya, emak pula hanya duduk di kerusi sebab tahu ahli keluarganya akan sampai. Tapi tak sangka air naik cepat masuk ke kediaman sampai emak pun berendam bersama banjir,” ujarnya.
Dalam pada itu Norisan turut menzahirkan kesyukuran kerana ibunya selamat selain dokumen penting dan beberapa barang berharga sempat diselamatkan.