KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Senator Datuk Armand Azha Abu Hanifah yang mengumumkan beliau akan bertanding jawatan Ketua Pemuda parti, namun ‘disekat sementara’ apabila dipanggil Lembaga Tribunal Disiplin, meneruskan pendiriannya selepas diberi ‘lampu hijau’.
Armand Azha mendakwa, meskipun diberi amaran oleh Lembaga Tribunal Disiplin, namun beliau telah diberi kebenaran untuk meneruskan persaingannya.
“Berdasarkan keputusan rasmi (Tribunal Disiplin), hanya diberi amaran keras, dan dibenarkan bertanding sebagai Ketua Pemuda UMNO dan Ketua UMNO Bahagian Subang.
“Surat rasmi akan keluar sehari dua lagi. Let’s fight guys (jom kita berjuang),” katanya.
Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO Bahagian Subang, Datuk Mohamad Razman Rahim berkata, warga UMNO Bahagian Subang mengucapkan kesyukuran terhadap Ilahi berhubung keputusan Lembaga Tribunal Disiplin UMNO Malaysia terhadap Ketua UMNO Bahagian Subang.
“Kami dimaklumkan bahawa Lembaga Tribunal Disiplin telah membuat keputusan, Ketua Bahagian kami telah dibenarkan untuk meneruskan hasrat beliau untuk bertanding di peringkat nasional dan bahagian.
“Selaku wakil UMNO Bahagian Subang mengucapkan terima kasih kepada pihak Lembaga Tribunal Disiplin UMNO Malaysia di atas keputusan yang telah dibuat kerana ini membuktikan ketelusan dan kesuburan demokrasi masih kekal utuh di dalam parti keramat kita, UMNO.
“Kami juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan buat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang sentiasa mendengar suara akar umbi serta mengutamakan kestabilan parti mengatasi segalanya.
“Sebagai UMNO Bahagian yang sentiasa menyokong kepimpinan Presiden parti, sekali lagi kami mengucapkan jutaan terima kasih di atas berita yang menjernihkan kembali keadaan kami di sini,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Armand Azha yang menawarkan diri untuk bertanding kerusi Ketua Pemuda UMNO mengesahkan dipanggil Lembaga Disiplin.
Armand Azha yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) dan dilihat rapat dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini, bakal berdepan tindakan gantung atau dipecat.
UMNO Bahagian Subang kemudian merayu kepada Ahmad Zahid supaya tidak mengenakan sebarang tindakan terhadap ketua mereka, Armand Azha yang didakwa melanggar tataetika pemilihan.