KOTA TINGGI: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) hari ini memberi jaminan bekalan bahan mentah termasuk sayur-sayuran di negeri ini mencukupi, meskipun Johor masih dilanda banjir.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kementerian menerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sentiasa memastikan bekalan mencukupi.
Ini termasuk membawa bekalan dari negeri-negeri lain termasuk Kuala Lumpur (Pasar Borong Selayang), Negeri Sembilan dan Pahang (Cameron Highlands), katanya.
“Insya-Allah. Dijamin oleh pihak FAMA (bekalan) akan dibawa dari tempat-tempat lain untuk memenuhi permintaan dalam bulan Ramadan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan bantuan nelayan di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Ahli Parlimen Kota Raja itu berkata demikian ketika ditanya sama ada bekalan bahan mentah mencukupi memandangkan sesetengah tempat di negeri itu masih terjejas banjir.
Mengenai jumlah kerugian yang dialami pekebun dan petani, Mohamad berkata, kementeriannya bersama agensi-agensi terlibat kini dalam proses membuat bancian dan mengumpul data penduduk terkesan banjir.
“Kerugian itu sedang dibuat bancian. Pihak NADMA, Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, MAFS dan FAMA juga sedang buat kajian.
“Nanti kita lihat (bagaimana), (semua permohonan) bergantung kepada kerosakan dan permohonan mereka (yang terjejas banjir) akan dipertimbangkan. Sekarang ini, masih lagi di peringkat bancian,” kata Mohamad sambil menambah proses mengumpul data itu dijangka mengambil masa sebulan.
Disember lepas, sektor pertanian dan agromakanan mengalami kerosakan dan kerugian berjumlah RM111.95 juta akibat bencana susulan Monsun Timur Laut (MTL).
Ia meliputi sekitar 24,700 hektar kawasan pertanian dan 12,000 orang petani, penternak serta pengusaha agromakanan di seluruh negara.
Bermula 28 Februari lepas, banjir sekali lagi melanda negeri ini yang menyebabkan 10 daerah dan lebih 50,000 penduduk terjejas. – BERNAMA