CYBERJAYA: Isu makanan basi, hangit yang dijual oleh peniaga bazar ramadan berlanjutan apabila baru-baru ini, seorang pengunjung mengadu terbeli karipap yang sudah berkulat di sebuah bazar sekitar Kuantan.
Menerusi hantaran Tweet yang dikongsi oleh Twitter @MALAYSIAVIRALLL, pembeli berkenaan meluahkan rasa kecewa dengan sikap tidak bermoral peniaga yang tidak mementingkan aspek kualiti makanan.
Menurut tweet itu, rasa karipap yang dibeli sangat pahit dan pembeli terkejut melihat inti karipap tersebut sudah berkulat.
Tambahnya lagi, kulit karipap itu kelihatan sangat berminyak seperti digoreng berkali-kali.
“Seumur hidup saya, ini makanan yang paling teruk yang pernah saya beli. Bukan setakat berlendir rasa masam atau basi, tapi ni dah sampai berkulat, macam dah 3,4 hari punya tapi digoreng semula. Bayangkan makanan sampah macam ini dimakan kanak-kanak atau ibu mengandung,” katanya.
Pembeli itu turut mempersoalkan sama ada peniaga meraih keuntungan yang berbaloi sehingga sanggup menyebabkan pelanggan mengalami keracunan makanan.
“Saya memang bukan sejenis suka viral-viral kan, tapi bagi saya isu makanan berkulat dijual pada orang ini, dah tahap melampau dan tidak boleh diterima akal.”
“Esok saya akan datang berjumpa sendiri berjumpa penjual kuih tersebut dan bawa karipap kulat ini untuk dia nilai sendiri tahap kualiti makanan yang dijual,” jelasnya.
Diharapkan, para peniaga selepas ini lebih berhati-hati semasa mengendalikan makanan dan ikhlas dalam menyediakan makanan.
Oleh: AIN JAPRI (Pelatih USM)