ANKARA: FIFA mengeluarkan dokumentari mengenai Piala Dunia 2022 pada Jumaat yang membolehkan peminat bola sepak menonton aksi mendebarkan di sebalik tabir semasa kejohanan itu, lapor Agensi Anadolu.
Filem rasmi Qatar 2022 “Written in the Stars” itu diceritakan oleh pelakon Michael Sheen. Dokumentari selama satu jam 34 minit itu boleh ditonton secara percuma di laman sesawang FIFA.
Penonton berpeluang menyaksikan apa yang berlaku di belakang tabir perlawanan dan paparan aksi yang tidak dapat dilihat oleh penonton sebelum ini.
Di Qatar 2022, 172 gol dijaringkan dan kejohanan itu menjadi pertandingan yang menyaksikan bilangan gol terbanyak dalam sejarah Piala Dunia.
Kira-kira 3.4 juta orang menonton perlawanan Piala Dunia di stadium dengan purata 53,000 penonton setiap perlawanan.
Argentina yang diketuai Lionel Messi muncul juara apabila menewaskan Perancis 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti pada perlawanan akhir, Disember lepas. – BERNAMA