PETALING JAYA: Seorang guru wanita di sebuah sekolah di Pulang Pinang mendapat durian runtuh selepas memenangi sebuah kereta mewah menerusi Cabutan WOW! 25 Tahun, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Khoo Lee Hah, 39, yang masih terkejut dengan kemenangannya menerusi kategori Cabutan Tahunan Jubli Perak mengakui tidak pernah mengimpikan untuk memenangi hadiah itu kerana niatnya membuka akaun berkenaan hanya untuk menyimpan demi masa depan pendidikan anak perempuan tunggalnya.
Beliau yang telah menjadi seorang pendidik selama 12 tahun itu membawa pulang Mercedes Benz C200 Avantgarde menerusi simpanan beliau di dalam Simpan SSPN mulai 2016.
“Saya membuka akaun Simpan SSPN Plus selepas mengetahui mengenai simpanan ini di laman media sosial yang memberi banyak manfaat seperti perlindungan takaful, pelepasan cukai dan banyak lagi.
“Selain Simpan SSPN Plus, saya juga membuka akaun Simpan SSPN Prime dan jumlah keseluruhan saya buat simpanan bernilai lebih RM8,000 setahun,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis penyampaian hadiah Cabutan WOW! 25 Tahun PTPTN di sini, hari ini.
Penyampaian hadiah cabutan berkenaan disempurnakan Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid, diiringi Ketua Pegawai Kewangan PTPTN, Azhar Ahmad.
Selain Khoo, Latinah Dahulin, 37, berasal dari Sabah memenangi tempat kedua cabutan itu dan membawa pulang wang tunai RM100,000 manakala Yip Meng Leong, 49, jurutera di Selangor, pula memenangi tempat ketiga cabutan berkenaan dan berjaya membawa pulang wang tunai bernilai RM50,000.
Cabutan WOW! 25 Tahun PTPTN sempena sambutan Jubli Perak 25 Tahun PTPTN berlangsung pada 1 Januari hingga 31 Disember tahun lepas menerusi tiga kategori cabutan iaitu Cabutan Siri Silver 1, 2 serta 3, Cabutan Khas Babyku Simpan dan Cabutan Tahunan Jubli Perak.
Bagi Cabutan Khas Babyku Simpan dimenangi K. Shankar, 37.
Terdahulu, Ahmad Dasuki ketika berucap menyempurnakan majlis penyampaian hadiah itu, memaklumkan sehingga 31 Jan lepas, jumlah keseluruhan deposit Simpan SSPN yang diterima adalah sebanyak RM14.38 bilion dengan bilangan akaun berjumlah 5.79 juta.
“Pencapaian ini membuktikan Simpan SSPN berada di landasan tepat sebagai produk simpanan yang berdaya saing setanding dengan produk simpanan lain di pasaran. Terima kasih saya ucapkan kepada semua pendeposit setia yang menyokong Simpan SSPN selama ini,” katanya. – BERNAMA