KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menyeru golongan belia agar mengisi masa masing-masing pada hujung minggu dengan berusaha meningkatkan kemahiran serta mencari kemahiran baharu bagi membolehkan mereka menambah pendapatan.
Beliau turut menggesa golongan itu agar “mengikut minat masing-masing” ketika berusaha meningkatkan kemahiran diri dan berkata “kemelesetan ekonomi tidak mampu menghalang jika anda memiliki kemahiran yang sesuai.”
Yeoh berkata demikian ketika berucap pada program SEEKscapes iaitu inisiatif pembangunan kerjaya antara sektor awam dan swasta bagi membantu belia mengenal potensi mereka dan menemukan matlamat kerjaya untuk diri anjuran JobStreet Malaysia.
Beliau juga meminta pemilik perniagaan agar menganjurkan kursus latihan pada hujung minggu untuk belia bagi melengkapkan program Skills for Life kementerian itu yang dilaksanakan oleh Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) dalam usaha memperkasa golongan berkenaan dengan kemahiran tambahan.
Program itu diadakan pada hujung minggu menggunakan pendekatan ‘Do It Yourself’ khusus untuk belia daripada kumpulan B40 dan M40 selain golongan berisiko serta minoriti dan mereka yang sudah bekerja berumur 40 tahun ke bawah.
“Generasi muda tidak seharusnya takut untuk keluar dari zon selesa mereka untuk mempelajari kemahiran baharu. Kuatkan minda dan luangkan masa dengan melibatkan diri dengan orang lain untuk membina rangkaian anda sendiri.
“Meskipun anda tidak begitu berjaya dalam SPM, anda juga mampu mencapai kejayaan yang sangat cemerlang dalam hidup,” katanya sambil menambah beliau mengenali ramai individu dalam kategori ini yang telah menempa kejayaan dalam kerjaya mereka.
Yeoh memuji JobStreet Malaysia kerana menganjurkan program itu dan melahirkan rasa kagum kerana terdapat juga pemprofilan personaliti untuk hadirin bagi membantu mereka lebih mengenali diri sendiri sambil mengemukakan cadangan kerjaya yang sesuai.
Ribuan belia telah mendaftar untuk menghadiri acara dua hari itu yang turut menyaksikan penglibatan syarikat yang mencari pekerja seperti Teleport, Sports Direct, Genting Malaysia, Big Bad Wolf Books dan Sunway Berhad.- BERNAMA