KUALA LUMPUR: Wanita yang pernah diberi gelaran Ibu Takaful kerana berjaya membina empayar insurans dengan 300 ejen di bawahnya berkongsi kisah gelap hidupnya agar menjadi pelajaran dan teladan.
Zuriati Mohammed Yusoff, yang memiliki pengalaman 22 tahun dalam dunia perniagaan insurans akhirnya tersungkur di kemuncak hidupnya apabila berhadapan satu pertuduhan bawah Seksyen 420 dan 25 pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) pada tahun 2020.
Wanita berusia 49 tahun itu bagaimanapun mencapai kemenangan pertama apabila dibebas dan dilepaskan oleh mahkamah dari semua pertuduhan berkenaan pada 10 Mac lalu.
Kemenangan itu memberi cahaya selepas kejatuhan yang paling gelap dalam hidupnya melalui empat tahun perbicaraan, sembilan hari secara keseluruhannya
merangkumi 24 saksi pendakwaan yang memberi keterangan terhadap pertuduhan ke atasnya.
Biasanya mereka yang dituduh akan dikenali ketika pendakwaan terhadapnya tetapi kurang diketahui apabila sudah menang dan bebas daripada pertuduhan.
Zuriati memecahkan ruyung dengan berani tampil menjelaskan kebenaran agar orang lain turut bangkit dan tidak menyerah kalah dalam kehidupan.
“Ini langkah pertama saya untuk membersihkan nama saya dan keluarga, ketika saya didakwa saya hilang segala-galanya, ribuan komen nista daripada netizen yang tak sanggup saya baca.
“Duit dan aset saya dibeku, syarikat insurans milik saya terpaksa diserahkan kepada rakan kongsi saya.
“Saya disisihkan daripada kawan dan masyarakat, keluarga terpalit malu sehingga saya pernah putus asa dan beberapa kali saya cuba menamatkan riwayat hidup saya, syukur suami saya ada di sisi tidak tinggalkan saya.
“Dahulu saya seorang jutawan, sebelum jatuh ke bawah tapak kaki dan hilang segala-galanya. Dari banglo ke rumah sewa kecil, dari kereta mewah BMW ke Viva,” katanya pada sidang media di pejabat peguam Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak, Menara Dato Onn pada Rabu.
Turut hadir, peguam mewakilinya, Datuk Wan Azmir Wan Majid.
Dalam pada itu, Zuriati meluahkan ketika dia berada di puncak kerjaya, dengan wang keliling pinggang dia rasa bangga dan ego, enggan berkongsi masalah.
“Saya rasa saya buat perkara betul, saya takut orang hakimi saya jika luah masalah saya, pada awal-awal saya berjuang seorang diri, saya tak ambil peguam atau rujukan mana-mana itu silap pertama saya.
“Hidup kita kena ada mentor, kena ada orang kita boleh rujuk, tunjuk jalan, kita tak boleh rasa kita sahaja yang betul kena terima pandangan nasihat orang lain,” katanya yang kini meneruskan kehidupan sebagai jurulatih (coach) ejen insurans.
Ditanya media apa yang memberikan kekuatannya untuk bangkit semula, jelas ibu kepada dua anak ini dia sebenarnya tiada pilihan.
“Pilihan saya do or die iaitu teruskan hidup, berhadapan dengan ujian, atau mati sahaja, jadi saya memilih berjuang dan hidup.
“Saya bertahan selama empat tahun ini kerana tidak baca komen fitnah dan lain-lain dari netizen, itu nasihat peguam saya.
“Pelajaran apa yang berlaku ke atas hidup saya kepada ejen-ejen insurans lain adalah perlu isytihar lebihan pendapatan yang diterima.
“Kegagalan isytihar itu yang mendatangkan masalah kepada diri sendiri dan apa-apa kena rujuk orang lain khususnya perundangan agar kita tak dianiaya dek kerana pemberian wang yang tidak diisytihar,” katanya.
Tambah Wan Azmir, anak guamnya akan mempertimbangkan proses seterusnya sama ada mengambil tindakan saman terhadap pihak yang mendakwanya.
“Secara lazimnya, pihak pendakwaraya akan merayu untuk kes ini bagaimanapun kita lihatlah apa tindakan selanjutnya, “katanya.
Menurut fakta kes, Zuriati telah didakwa menggunakan wang hasil daripada aktiviti haram yang di dalam akaun bank milik syarikat Millionaire Synergy Sdn Bhd.
Zuriati telah didakwa kerana dikatakan memperdaya seorang VVIP bagi mendapatkan satu cek bernilai RM1,849,719.75 dengan memalsukan resit pembelian enam polisi insurans yang mana adalah tidak wujud.
Saksi utama kes pendakwaan telah memberi keterangan bahawa cek bernilai RM1,849,719.75 diberikan bagi urusan pembelian polisi insurans.
Bagaimanapun wujud bukti-bukti yang menunjukkan bahawa wang tersebut dimasukkan untuk tujuan pelaburan emas sebagai galang ganti untuk kerugian pelaburan unit amanah atas arahan saksi pendakwaan berkenaan.