IPOH: Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) mengesahkan ayam segar di sebuah pasar raya di Kuala Kangsar dekat sini, disembelih mengikut syariat sekali gus menafikan berita tular di media sosial yang mendakwa ayam tersebut tidak disembelih mengikut hukum syarak.
Pengarah JAIPk, Harith Fadzilah Abdul Halim berkata siasatan segera ke premis terbabit turut mendapati tiga syarikat yang membekalkan ayam ke pasar raya itu juga disahkan mempunyai sijil halal.
“Kita telah lakukan pemeriksaan sejurus ia tular di media sosial dan hasil siasatan, kami mendapati tiada ayam segar yang kelihatan tidak disembelih secara sah sebagaimana dakwaan yang tersebar,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis berbuka puasa di sini malam tadi.
Justeru beliau berkata, pengguna Islam di negeri ini tidak perlu berasa was-was untuk membeli ayam di pasar raya termasuk di pasar raya tersebut kerana proses sembelihan adalah mengikut hukum syarak dan peraturan yang ditetapkan.
Justeru, beliau mengingatkan orang ramai agar tidak berkongsi maklumat tidak benar dan sentiasa merujuk pihak berwajib untuk kepastian.
Terdahulu tular di laman Facebook seorang pengguna yang membeli ayam di sebuah pasar raya di Kuala Kangsar mendakwa terdapat kesan tebukan di leher ayam sekali gus menyimpulkannya ia tidak halal. – BERNAMA