HomeBeritaJom balik raya 'free' bersama AlHijrah On The Bus

Jom balik raya ‘free’ bersama AlHijrah On The Bus

KUALA LUMPUR: Tidak lama lagi umat Islam akan menyambut bulan Ramadan yang penuh keberkatan dan kemuliaan.

Pasti ramai yang tidak sabar untuk menjalani ibadah puasa, menunaikan solat terawih dan mungkin ada yang mula sibuk dengan persiapan menjelang hari raya Aidilfitri.

Buat sebilangan pihak yang bekerja di ibu kota, tentu perasaan untuk pulang beraya di kampung halaman itu mula bermain di fikiran hingga ada yang dah mula memburu tiket bas balik beraya.

Justeru, bagi memudahkan urusan sebilangan rakyat untuk pulang menyambut hari raya di kampung, stesen TV AlHijrah turut mengambil inisiatif menyediakan pengangkutan bas secara percuma bagi tahun ini.

Empat buah bas milik Mara Liner Sdn Bhd yang bekerjasama dengan TV AlHijrah akan membawa 180 penonton setia pulang beraya ke kampung secara percuma pada Hari Raya Aidilfitri nanti.

Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini akan melalui rangkaian jalan raya di utara, selatan dan timur iaitu Perlis, Johor, Kelantan dan Terengganu untuk balik kampung.

Ketua Pegawai Eksekutif TV Al Hijrah, Namanzee Harris berkata, perjalanan pertama AlHijrah On The Bus akan berlepas pada Jumaat, 14 April ke Perlis, Johor, Kelantan dan Terengganu.

“Bagaimanapun kami belum putuskan apa pengisian untuk penumpang bas sepanjang perjalanan mungkin taranum dan sebagainya.

“Namun kami berharap ada selebriti atau pempengaruh yang ikut sekali bersama, tujuan awal AlHijrah On Bus adalah memperkenalkan jenama ini di pelosok kampung.

“Buat promo siapa yang hendak balik hantar komen kepada AlHijrah, kita akan temubual sikit tengok status kehidupannya kerana fokus kami adalah mereka yang tidak berkemampuan, ” katanya.

Majlis Pelancaran Kempen Ramadan 1444H TV AlHijrah bertemakan kempen Imarahkan Ramadan #EratkanJalinan di Zebra Square, di sini, pada Khamis.

Pada program itu, pihak media dan selebriti turut diberi peluang untuk merasai pengalaman menaiki bas dua tingkat TV AlHijrah dari Masjid Wilayah Persekutuan ke Zebra Square berkenaan.

Turut dilancarkan program CSR, Skuad Bubur Lambuk TV AlHijrah menggunakan khidmat 15 penunggang motosikal yang akan buat edaran sebanyak seribu bungkusan bubur lambuk di lima lokasi tumpuan ramai Kuala Lumpur dan Selangor.

Antara lokasi dikenalpasti adalah Hospital Besar Kuala Lumpur, stesen LRT, UiTM Shah Alam, stesen bas Kajang dan Masjid Usman Zaid.

Ketika ditanya MEDIA VARIASI adakah pihak AlHijrah akan mengadakan program bawa penduduk kampung ke bandar, beraya di bandar, Namanzee berkata ia pandangan yang baik.

“Mungkin kita boleh bawa orang kampung datang ke bandar, lihat operasi AlHijrah di sini, ia pandangan yang baik, ” katanya.

Pada majlis sama, beliau turut mengumumkan 17 rancangan baharu dan istimewa genre dokumentari, bual bicara, masakan, kerohanian, drama, telefilem, hiburan Islamik dan filem.

Keseluruhan 29 jam penerbitan diperuntukkan untuk Ramadan antaranya adalah Peristiwa Ramadan, Rehlah Roh Haramain, Khatam al Quran Perdana, Cinta Ilmu Istimewa Ramadan, Cinta Ilmu Qiam, Kerusi Lipat, Ihya Ramadan, Camca Ramadan, Camca Viral, Assalamualaikum Sahur, Sembang Moreh dan Matahati Madani.

Author

Pilihan Editor