HomeBeritaJom Ziarah ‘gereja’ tak babitkan belia Muslim – Hannah Yeoh

Jom Ziarah ‘gereja’ tak babitkan belia Muslim – Hannah Yeoh

CYBERJAYA: Program Jom Ziarah yang merupakan projek syarikat Impact Malaysia tidak melibatkan individu beragama Islam dalam aktiviti ziarah gereja.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, program berkenaan bukan bertujuan untuk memberi gambaran semua agama yang dianuti rakyat Malaysia adalah sama rata.

“Berkenaan pendaftaran Jom Ziarah Gereja, pihak kementerian menerusi Impact Malaysia sememangnya tidak akan melibatkan penyertaan belia Muslim dan tidak ada belia Muslim yang akan memasuki gereja ini.

“Projek Jom Ziarah diusahakan oleh Impact Malaysia di bawah KBS adalah bukan menyamaratakan kedudukan mana-mana agama.

“Saya ulang, ini bukan projek untuk sama ratakan mana-mana agama, ia juga bukan dilakukan dengan niat memberi gambaran bahawa semua agama itu mempunyai taraf yang sama seperti anggapan beberapa pihak,” jelasnya dalam Dewan Rakyat hari ini.

Tambah beliau, Jom Ziarah adalah inisiatif dalam memberi pendedahan perbezaan agama yang ada di Malaysia.

Malah, Ahli Parlimen Segambut itu juga mengatakan pelaksanaan program rumah ibadat bukan satu perkara yang baru.

“Ianya adalah usaha kita melihat untuk membezakan supaya dengan cara itu masyarakat Malaysia yang berbilang agama dan bangsa boleh hidup rukun damai dan lebih harmoni.

“Kementerian Perpaduan Negara juga pernah melakukan lawatan ke rumah ibadat yang melibatkan pelbagai penganut bagi mempromosikan persefahaman dan keharmonian di antara penganut agama yang kini dikenali sebagai Jawatankuasa Harmoni,” ujarnya.

Terdahulu, tular di media sosial poster projek Impact Malaysia yang memaparkan ‘ajakan’ belia bukan Kristian untuk turut serta program Jom Ziarah ke gereja di Klang, Selangor, Sabtu ini.

Bagaimanapun, projek terbabit turut melibatkan rumah ibadat bagi agama lain termasuk ziarah masjid.

Author

Pilihan Editor