PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) merampas lebih 1,000 peralatan seks yang dilarang di negara ini kerana memudaratkan kemoralan di sebuah kediaman di Kota Warisan, Sepang pada 19 Disember lepas.
Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN, Nik Yusaimi Yussof berkata, rampasan dalam operasi Ops Maya itu dilakukan berdasarkan risikan dan pemantauan terhadap rumah berkenaan, yang digunakan sebagai lokasi menyimpan dan menjual peralatan terbabit secara dalam talian.
Dalam sidang media di sini hari ini, beliau berkata, peralatan terbabit adalah barang larangan dan merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 kerana memudaratkan kemoralan.
Menurutnya, operasi itu membawa kepada penahanan seorang lelaki berumur 57 tahun pada 19 Disember lalu dan telah didakwa di Mahkamah Majistret Sepang pada 2 Februari lepas di bawah akta berkenaan dan Seksyen 292 (a) Kanun Keseksaan kerana mengedar dan menjual barang-barang lucah.
“KDN tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang terlibat dengan elemen yang memudaratkan kemoralan, ketenteraman awam, keselamatan negara dan kepentingan negara,” katanya.
Nik Yusaimi berkata, barang larangan bernilai RM115,000 yang dirampas itu dipercayai buatan China dan Thailand telah dibawa masuk ke Malaysia menerusi pembelian dalam talian, dengan harga setiap barangan adalah antara RM70 dan RM1,000.
“Kebimbangan KDN adalah penggunaan peralatan seks akan memberi kesan kepada aspek kemoralan masyarakat dan sekiranya ia tidak dapat dikawal, masyarakat Malaysia akan terjerumus ke kancah negatif dan membawa kepada pelbagai permasalahan lain,” katanya.
Beliau turut meminta pihak penyedia platform beli-belah dalam talian untuk bekerjasama dengan pihak kerajaan untuk menyekat jualan barangan yang tidak sepatutnya dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan penjualan dan pengedaran peralatan berkenaan diminta menghubungi KDN di talian 03-80008000. – BERNAMA