SENTUL: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Nai’im Mokhtar menegaskan pendirian Kerajaan Persekutuan untuk menolak campur tangan keputusan ziarah rumah ibadat berbeza agama di Pulau Pinang dan Selangor.
Ia berikutan Jabatan Agama Islam Selangor melarang umat Islam ziarah rumah ibadat bukan Islam manakala Kerajaan Pulau Pinang pula tidak melarang mana-mana pihak untuk menyediakan program dan mengajak umat Islam melawat rumah ibadat bukan Islam di negeri ini bagi tujuan tertentu.
Mohd Nai’im ketika diminta mengulas perkara itu berkata, perkara berkaitan agama Islam adalah tertakluk kepada kuasa negeri.
“Kerajaan Persekutuan berpendirian bahawa soal melibatkan hal ehwal agama adalah di bawah bidang kuasa negeri, sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Kerajaan Persekutuan menghormati keputusan yang dibuat di setiap peringkat negeri,” katanya.
Mohd Nai’m menyifatkan meskipun tiada penyelarasan, ia memberi isyarat jelas bahawa ada hal-hal tertentu yang mana keputusan negeri akan mengatasi keputusan kerajaan Persekutuan.
“Ada perkara berkaitan dengan Islam ini di bawah kuasa negeri, ini saya sudah tekankan banyak kali.
“Benda (hal ehwal agama) ada undang-undang, sebab itu ada berbeza pandangan di situ, seperti yang berlaku. di Selangor dan Pulau Pinang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu
program lawatan ke gereja oleh NGO Impact Malaysia di bawah Projek Artikel 11, yang mendapat kritikan pelbagai pihak termasuk kerajaan dan pembangkang.
Terdahulu, Mohd Nai’m hadir menyempurnakan perasmian Program TownHall Ikon Nasional Membentuk Siswa Madani peringkat Wilayah Persekutuan anjuran Yayasan Prihatin Nasional (Prihatin) di Dewan Tun Syed Nasir UKM, di sini.
Program itu turut mendapat kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Bank Rakyat.
Turut hadir, Penasihat Pendidikan & Biasiswa PRIHATIN, Tan Sri Sahol Hamid Abu Bakar; Pengerusi MAIWP, Tan Sri Mohd Daud Bakar bersama 850 penuntut University College MAIWP International (UCMI), Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur (KPBKL) dan Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) meraikan program itu.
Turut berlangsung, sesi pemberian bantuan awal pendidikan bantuan tunai, komputer riba dan beg keperluan asas ke menara gading.
Pada program sama, program IKON turut diwujudkan dengan menjemput beberapa ikon negara, pelbagai bidang untuk perkongsian ilmu dan pengalaman seterusnya melahirkan graduan mentaliti kelas pertama.
Sementara itu, Mohd Na’im berkata, semua pihak harus bangkit bersama-sama memanfaatkan pelaksanaan program Townhall Ikon Nasional ini.
Katanya, program sebegini bermanfaat dalam menghimpunkan belia dan tokoh motivasi, dalam melahirkan generasi berilmu dan mencapai matlamat kerajaan untuk masa depan masyarakat dan negara.
“Selain untuk mengangkatnya ke
dalam bentuk dan tahap yang jauh lebih bermakna dan berjaya, saya sentiasa mengharapkan pihak lain akan turut memberi sokongan dan bekerjasama baik dalam membantu memeta pembangunan masa depan pelajar kita,” katanya.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni menegaskan pendirian JAIS tidak benarkan umat Islam melakukan apa-apa aktiviti di rumah ibadat bukan Islam.
Manakala, Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman pula dilapor berkata, Pulau Pinang tidak melarang umat Islam untuk ziarah rumah ibadat berbeza agama dengan mengambil pendekatan mengikut enakmen dan juga akta-akta sedia ada.