PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk mendapatkan kebenaran menyemak keputusan yang mengekalkan sabitan serta hukuman kesalahan menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd yang dikenakan terhadapnya.
Keputusan itu membuatkan Najib perlu menjalani baki tempoh penjara 12 tahun yang dijatuhkan ke atasnya melainkan bekas Perdana Menteri itu mendapat pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu memohon diberi kebenaran menyemak keputusan rayuan akhirnya oleh panel yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tengku Tuan Maimun Tuan Mat pada pada 23 Ogos tahun lalu dan jika dibenarkan, memohon perintah supaya dibebaskan atau secara alternatif, rayuan akhirnya didengar panel lain.
Dalam keputusan majoriti 4-1, panel membuat keputusan selepas mendapati permohonan kebenaran semakan itu adalah lebih menjurus kepada permohonan untuk menyemak merit keputusan panel dalam rayuan akhirnya pada 23 Ogos tahun lalu.
Keputusan tersebut dibacakan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Vernon Ong Lam Kiat, yang turut disokong Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan serta Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais.
Manakala, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abdul Rahman Sebli membuat keputusan menentang, lapor Berita Harian.
Untuk rekod, pada 28 Julai 2020, Hakim Mahkamah Tinggi (kini hakim Mahkamah Rayuan) Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali mendapati Najib bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana SRC.
Mohd Nazlan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib, dan keputusan itu dikekalkan Mahkamah Rayuan pada 8 Disember 2021 serta panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, pada 23 Ogos tahun lalu.