HomeBeritaPolitikKhir Toyo terima amaran Lembaga Disiplin UMNO

Khir Toyo terima amaran Lembaga Disiplin UMNO

CYBERJAYA: Lembaga Disiplin UMNO memberi amaran keras terhadap bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo selepas didapati bersalah atas tohmahan dan penghinaan terhadap Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos.

Pengerusinya, Datuk Mohd Hafarizam Harun berkata, Mohamad Khir didapati berbuat demikian menerusi kenyataannya antara 1, 5 dan 8 Mac.

“Tindakan Dr Khir yang melemparkan tohmahan dan memburuk-burukkan calon lain dalam tempoh pemilihan parti UMNO adalah perbuatan tidak menjaga nama baik dan maruah parti,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Pada 8 Mac, Mohamad Khir didakwa melemparkan dakwaan dan tohmahan terhadap Jamal kerana ingin mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar meskipun telah kalah 7,000 undi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pertuduhan kedua pada 5 Mac pula menyaksikan beliau membuat kenyataan terbuka mengeji dan menghina Jamal dalam kenyataan yang bertajuk ‘Amalan gangsterisme rugikan UMNO’.

Sementara itu, dakwaan yang dilemparkan Mohamad Khir pada 1 Mac adalah kerana membuat kenyataan terbuka bertajuk ‘Khir Toyo Buat Kemunculan Semula, Mahu Bantu Anak Muda Sungai Besar’ dengan niat mendapatkan sokongan perwakilan UMNO Bahagian Sungai Besar.

Bagaimanapun Mohd Hafarizam mengatakan, Mohamad Khir boleh berbuat rayuan sekiranya tidak berpuas hati dengan hukuman itu.

“Sekiranya Dr Khir Toyo tidak berpuas hati dengan hukuman lembaga disiplin seperti di atas, selaras dengan Fasal 20.6 Perlembagaan UMNO, beliau bolehlah merayu kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT),” ujarnya.

Author

Pilihan Editor