PUTRAJAYA: Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laksamana Datuk Mohd Zubil Mat Som yang akan bersara wajib pada 19 Mac ini, melahirkan rasa kecewa berhubung kelewatan penyerahan Kapal Peronda Luar Pesisir (OPV).
Ditemui pemberita pada istiadat paluan berundur sempena persaraan beliau di Dataran Pahlawan Negara di sini pada Khamis, Mohd Zubil berharap OPV pertama (OPV1) dapat diserahkan selewat-lewatnya tahun ini supaya dapat digunakan bagi operasi mengawal keselamatan perairan negara.
Beliau berkata mengikut perjanjian awal, OPV1 dijanjikan untuk serahan pada bulan ini namun kini beliau difahamkan serahan tersebut hanya akan berlaku pada Julai depan.
“Kalau ikut perjanjian awal dua OPV sepatutnya diserahkan tahun ini iaitu OPV1 yang mana akan diserah pada bulan Mac tapi dah nak habis bulan ni, belum ada perkembangan lagi. OPV2 pula masih menjadi tanda tanya,” katanya.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini dilaporkan berkata OPV 1 dan 2 bakal siap dan diserahkan kepada APMM pada tahun ini mengikut tempoh ditetapkan iaitu masing-masing pada Mac dan Oktober.
Pada Oktober lepas (2022), OPV1 sepanjang 83 meter dan lebar 13.7 meter dengan keupayaan melakukan pengawasan jarak jauh sehingga ke Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) serta kawasan di luar jangkauan kapal kecil, telah dilancarkan ke air.
Mohd Zubil berkata, OPV merupakan kapal terbaik untuk APMM, kerana ia berupaya mengharungi laut dan ombak serta bertahan di laut selama 28 hari tanpa perlu berulang-alik ke daratan untuk mengisi minyak. – BERNAMA