KUALA TERENGGANU: Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) mengeluarkan arahan larangan penyampaian kuliah agama, ceramah dan penganjuran aktiviti berunsur politik oleh ahli politik di semua masjid dan surau di Terengganu.
Yang Dipertuanya, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, larangan itu termasuk melibatkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Negara.
Beliau berkata, masjid dan surau adalah institusi agama yang sangat mulia dan menjadi lambang penyatuan umat Islam, oleh itu ia tidak boleh disalah guna untuk tujuan politik yang boleh menimbulkan keresahan dalam masyarakat.
“Sultan Mizan Zainal Abidin melahirkan rasa dukacita dengan situasi penglibatan segelintir ahli politik yang menyampaikan kuliah, ceramah dan pengajaran agama serta bertindak sebagai khatib dan imam solat Jumaat tanpa kebenaran Maidam.
“Baginda ingin masjid dan surau berfungsi dengan baik, memberi manfaat kepada masyarakat setempat dan tidak dicemari unsur politik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain larangan kuliah, ceramah dan aktiviti berunsur politik, Shaikh Harun berkata, semua ADUN, Ahli Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Negara juga tidak dibenarkan menjadi imam dan khatib di masjid dan surau di negeri ini.
Malah katanya, semua pengerusi dan ahli jawatankuasa masjid dan surau perlu memastikan penceramah, pengkuliah, tenaga pengajar serta khatib solat Jumaat yang dijemput mempunyai tauliah atau kelulusan yang dikeluarkan oleh Maidam.
“Semua kepimpinan dan aktivis parti politik juga tidak dibenarkan menyampaikan apa-apa ceramah, kuliah atau pengajaran agama dalam negeri Terengganu kecuali pemegang tauliah atau dengan kebenaran Maidam.
“Mana-mana program keagamaan yang dianjurkan agensi kerajaan, badan berkanun, anak-anak syarikat negeri dan badan bukan kerajaan (NGO) yang diadakan di bangunan agensi atau tempat awam hendaklah memastikan penceramah, pengkuliah atau ahli panel dalam atau luar negeri yang dijemput mempunyai kelulusan daripada Maidam,” katanya. – BERNAMA