GEORGE TOWN: Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) hari ini menafikan dakwaan seorang penceramah bebas, Ustaz Zainul Asri Mohd Romli bahawa kononnya sebuah masjid di negeri itu kini telah dijadikan tempat ibadat orang bukan Islam.
Yang Dipertua MAINPP, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, tuduhan itu tidak berasas dan dilihat mampu menimbulkan salah tanggap masyarakat serta perbalahan antara kaum serta agama di negeri ini.
Beliau berkata, pihaknya baru-baru ini ada menerima video kuliah Zainul Asri di aplikasi TikTok bertarih 14 Februari lepas yang menunjukkan penceramah bebas itu mengeluarkan kenyataan tersebut.
“MAINPP dengan sekeras-kerasnya menafikan tuduhan liar itu kerana secara fakta, merujuk kepada ‘Interim Register’ lot yang dimaksudkan, terdapat 20 pemegang amanah asal bagi Kong Hock Keong Temple melalui Perintah Mahkamah (Peletakan Hak) Jilid 2, Fol. 61 pada 28 Disember 1973, yang kemudiannya berlaku pertukaran pemegang amanah disebabkan kematian.
“Lot 523 itu adalah terbitan daripada Lot 71 (2) TS. 19, Daerah Timur Laut yang mana lot tanah tersebut berstatus gred satu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pada asalnya (rujukan Deed Poll bertarikh 10 Julai 1888), tanah itu telah dimiliki oleh pemegang amanah berkenaan bagi Kong Hock Keong Temple No. 30 Pitt Street melalui Grant: No 2420 tahun 1838, iaitu pemberian daripada The Public Seal of the Colony oleh Gabernor dan Komander Negeri-Negeri Selat iaitu Cecil C. Smith.
Sehubungan itu, Ahmad Zakiyuddin yang juga Timbalan Ketua Menteri 1, berkata, MAINPP menuntut permohonan maaf secara terbuka daripada Zainul Asri bagi menjernihkan persepsi negatif yang mula tersebar dalam kalangan umat Islam di Pulau Pinang. – BERNAMA