IPOH: Seorang peniaga kasut didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah menjual 1,245 unit kasut dengan menyalahgunakan cap dagang jenama Evisu pada tahun lepas.
Hakim Azizah Ahmad turut memerintahkan Poon Yoke Lee, 52, dipenjara sebulan jika gagal bayar denda berkenaan.
Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didapati memperdagangkan 1,230 kasut wanita dan 15 unit kasut kanak-kanak perempuan pelbagai corak, saiz dan warna, Evisu yang merupakan suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah di bawah Seksyen 100 Akta Cap Dagangan 2019.
Kesalahan itu dilakukan di premis Two Percent Trading Sdn Bhd, Tingkat 1 Ipoh Parade, Jalan Sultan Abdul Jalil di sini pada 12 tengah hari, 9 Jun 2022.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 102 (1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 102 (1)(i) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM10,000 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Bagi kesalahan kedua atau berikutnya, boleh didenda tidak melebihi RM20,000 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau dipenjarakan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Muhammad Ridzuan Abd Rahim manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Khairul Fairuz Rahman.
Mahkamah turut memerintahkan kesemua 1,245 kasut dilucut hak kepada KPDN di bawah Seksyen 127(2) Akta Cap Dagangan 2019. – BERNAMA