JOHOR BAHRU: Kementerian Pengangkutan (MOT) mengarahkan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan masalah teknikal melibatkan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) dan Transit Aliran Massa (MRT) yang sering berlaku kebelakangan ini.
Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, arahan itu diberikan kepada Pengerusi Kumpulan Prasarana, Tan Sri Jamaludin Ibrahim bagi mendapatkan semua laporan berhubung masalah teknikal dihadapi kedua-dua perkhidmatan tersebut.
Beliau berkata, kementerian akan mengambil pelbagai langkah bagi mengatasi sebarang isu yang berlaku, sekali gus berharap insiden gangguan teknikal di landasan LRT Kelana Jaya yang mengakibatkan kelewatan semalam tidak berulang.
“Saya berasa amat kesal dan memohon maaf kepada semua penumpang yang terlibat, terutamanya warga kerja yang bergegas pulang ke rumah untuk berbuka puasa, sudah tentu apa yang berlaku pada waktu puncak semalam memberikan kesan kepada ramai penumpang.
“Mereka (Prasarana) perlu lihat punca sebenar masalah teknikal ini, sebab dalam masa dua minggu ia kerap berlaku, semalam di laluan LRT Kelana Jaya dan baru-baru ini di MRT Laluan Kajang,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Pas Tanpa Had MyBAS50 dan bas elektrik di Larkin Sentral di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan mengenai operasi perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya, yang mengalami kelewatan disebabkan kerosakan pada sistem perhubungan tren di Stesen Taman Bahagia, semalam.
Berhubung lapan individu yang terlibat dalam nahas LRT Laluan Kelana Jaya pada Mei 2021, memfailkan saman terhadap Rapid Rail Sdn Bhd dan Prasarana, Loke menjelaskan beliau menghormati hak kesemua mangsa untuk mengambil tindakan.
“Saya tidak boleh beri komen lanjut…apa yang boleh saya nyatakan bahawa kita berasa simpati terhadap (mangsa) kemalangan itu dan kita hormati hak mereka,” katanya.
Semalam, dilaporkan kesemua lapan individu memfailkan saman terhadap Rapid Rail dan Prasarana atas dakwaan cuai kerana gagal memastikan pengangkutan awam itu beroperasi dengan selamat sehingga menyebabkan mereka mengalami kecederaan.
Dalam insiden pada 8.45 malam 24 Mei 2021 itu, seramai 47 penumpang tren dilaporkan parah manakala 166 orang cedera ringan apabila sebuah tren yang membawa penumpang dan sebuah tren rosak yang sedang dipandu uji bertembung. – BERNAMA