MELAKA: Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) memperluas skala penganjuran bazar Ramadan dan Aidilfitri pada tahun ini dengan penambahan lokasi tapak jualan.
Yang Dipertua MPAG, Saifuddin Abdul Karim berkata, setakat ini pihaknya meluluskan 13 bazar Ramadan untuk beroperasi iaitu tujuh di Alor Gajah dan enam di Masjid Tanah berbanding hanya enam pada tahun lepas.
“Bazar Aidilfitri pula bertambah kepada tiga lokasi berbanding hanya dua pada tahun sebelumnya. Bazar berkenaan dianjurkan di Pulau Sebang dan Masjid Tanah,” katanya kepada pemberita pada Majlis Sembang Santai MPAG Bersama Rakan Media 2023 di sini malam tadi.
Beliau berkata, MPAG juga merancang menambah satu lagi bazar Aidilfitri bagi menempatkan 40 peniaga di Dataran Alor Gajah.
Saifuddin turut mengingatkan peniaga agar tidak menaikkan harga jualan terutama makanan sewenang-wenangnya selain sentiasa menjaga kebersihan tapak perniagaan dan kaedah penyediaan makanan.
“Kita (MPAG) sudah mengadakan taklimat dan diharap peniaga dapat mematuhinya termasuklah waktu operasi iaitu 3 petang hingga 8 malam bagi bazar Ramadan manakala 6 petang hingga 1 pagi bagi bazar Aidilfitri,” katanya. – BERNAMA