HomeSukan'MU Rahmah' jadi lauk Liverpool di Anfield

‘MU Rahmah’ jadi lauk Liverpool di Anfield

 

LIVERPOOL berjaya meraih tiga mata penuh apabila berjaya membenam Manchester United dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) 7-0 di Anfield pada Ahad. 

Trio serangan Liverpool, Cody Gakpo, Darwin Nunez dan Mohamed Salah masing-masing menjaringkan dua gol sebelum Roberto Firmino menambah derita Manchester United pada minit akhir perlawanan.

Kemenangan ke atas Manchester United telah membawa Liverpool ke kedudukan kelima di dalam liga serta menghidupkan peluang untuk beraksi di Liga Juara-juara Eropah (UCL) pada musim akan datang.

United yang kini berada di tempat ketiga itu kelihatan mempunyai kelebihan di atas kertas selepas pasukan itu baru sahaja memenangi Piala Liga pada minggu lalu.

Persembahan United bertukar suram selepas Cody Gakpo membuka jaringan pada minit ke-43 sebelum mereka mengalami kekalahan terburuk di tempat lawan sejak 1931 ketika bertemu Wolverhampton Wanderers dengan jaringan 7-0.

Liverpool bermula dengan baik pada separuh masa kedua apabila Nunez berjaya menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-47 permainan hasil umpanan Harvey Elliot sebelum Gakpo menambah jaringan pada minit ke-50 hasil serang balas pantas yang diterajui oleh Salah. 

Keadaan kucar-kacir United berjaya membuat Mohammad Salah mencetak gol ke-4 buat Liverpool pada minit ke-66 dan minit ke-83.

Dua jaringan itu meletakkan Salah sebagai penjaring terbanyak buat Liverpool dengan 129 gol keseluruhan. 

Nunez sekali lagi mencipta nama sebagai penjaring pada minit ke-77 dan Firmino pada minit ke-88 untuk melengkapkan malam gemilang buat Liverpool. 

Ini merupakan kali pertama sejak 1999 apabila tiga pemain berjaya menjaringkan dua gol dalam perlawanan yang sama dalam Liga Perdana yang disempurnakan oleh Andy Cole, Solskjaer dan Yorke ketika Manchester United menentang Nottingham Forest.

 

Author

Pilihan Editor