HomeBeritaNetizen teruja tengok feri baharu P.Pinang

Netizen teruja tengok feri baharu P.Pinang

CYBERJAYA: Baru-baru ini, tular di media sosial video dan foto paparan terbaharu feri di Pulau Pinang.

Penularan itu membuatkan rata-rata netizen semakin teruja dan tidak sabar untuk menaiki feri yang diberi nama ‘Teluk Bahang’ itu.

Difahamkan, feri berkenaan berfungsi untuk kegunaan pejalan kaki dan penunggang motosikal serta basikal.

Malah, video dan gambar yang tular itu diambil di limbungan kapal di Haiphong, Vietnam dan feri-feri berkenaan didakwa akan tiba di Pulau Pinang, Julai ini, lapor Kosmo.

Sementara itu, jurucakap Penang Port Sdn. Bhd. meminta semua pihak bersabar terlebih dahulu kerana matlamat utama pada masa ini adalah untuk menyiapkan pembinaan feri-feri tersebut.

Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Datuk Tan Teik Cheng ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai video serta gambar-gambar feri berkenaan.

”Saya tidak boleh ulas lanjut, nanti tunggu pengumuman mengenainya,” katanya.

Pada Oktober tahun lalu, SPPP mengumumkan komponen-komponen feri serta bentuk feri Pulau Pinang yang baharu telah mula kelihatan yang mana kemajuan pembinaannya adalah 40 peratus siap dan dijadualkan siap sepenuhnya Jun ini.

Bermula 1 Januari 2021, perkhidmatan feri ikonik Pulau Pinang digantikan dengan penggunaan feri bot laju bagi membawa penumpang pejalan kaki manakala bagi pengguna motosikal dan basikal pula digantikan dengan feri roro.

Perkhidmatan feri Pulau Pinang yang berusia 128 tahun adalah perkhidmatan feri tertua di negara ini dan juga perkhidmatan feri lintas selat pertama antara Pulau Pinang dan tanah besar bermula pada 1894.

Author

Pilihan Editor