IPOH: Walaupun bandar raya Ipoh mempunyai tahap pembangunan dan infrastrukturnya yang memberansangkan namun, tahap kepuasan hati penduduk di sana masih kurang.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, Ipoh masih jauh ketinggalan berbanding bandar lain di Malaysia menerusi Kajian Indeks Kebahagiaan Malaysia 2022.
Katanya, walaupun Ipoh memperoleh skor sebanyak 88.7 peratus bagi tahun 2022 iaitu sedikit meningkat berbanding 81.1 peratus pada tahun sebelumnya, namun masih gagal mencapai 90 peratus ke atas.
“Ipoh mungkin berada di tangga ke-30 atau 40 untuk indeks tersebut, masih dalam bahagia sebab markah itu 80 peratus ke atas, kalau lima bintang 90 peratus dan ke atas.
“Melalui pengamatan saya memang ramai penduduk Ipoh yang tidak puas hati walaupun infrastruktur dan ekonomi ada peningkatan mendadak.
“Kepuasan hati penduduk di sini masih rendah berbanding dengan negeri lain. Ada negeri walaupun tahap pembangunan infrastruktur dan ekonomi stagnant (tidak berubah) atau menurun, tapi kepuashatian rakyatnya berada dalam skor bahagia.
“Jadi kenapa? Itu yang saya tidak pasti dan saya sedang mengenal pasti apa puncanya, saya tiada jawapannya,” katanya seperti dilapor Astro Awani.
Beliau turut memaklumkan bahawa baru-baru ini, pihaknya melantik perunding bagi mencari punca dan solusi berhubung masalah berkenaan.
“21 Mac lalu kita sudah lantik konsultan dari Universiti Tunku Abdul Rahman, Kampar dan memberi masa kepada mereka selama enam bulan untuk mencari punca dan cadangan.
“Tetapi apa yang saya lihat di media sosial Facebook ramai di antara orang Ipoh mengadu tentang isu jalan dan kutipan sampah.
“Kemungkinan isu yang mereka tidak puas hati ialah ketidaksesuaian dalam peluang pekerjaan di bandar raya ini, contohnya ada jawatan untuk gred rendah, pemohon pekerjaan itu ada ijazah. Ramai juga lepasan universiti dan kolej tetapi terpaksa kerja kilang,” ujarnya.
Sebelum ini media melaporkan,bandar raya Petaling Jaya, Manjung dan Kluang diiktiraf sebagai antara 10 Bandar Paling Bahagia 2022 di Malaysia sempena Sambutan Hari Kebahagiaan Sedunia yang jatuh pada 20 Mac setiap tahun.
Turut tersenarai adalah bandar Gua Musang, Klang, Kulai, Krai, Kuantan, Rompin dan Alor Gajah yang dipilih sebagai bandar paling bahagia melalui Kajian Indeks Kebahagiaan Malaysia 2022 yang dijalankan oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa.